Anda di sini

Tarian singa satukan rakyat berbilang kaum

Advertisement

SIMBOLIK: Daud (kanan) menyalakan bunga api sebagai simbolik pembukaan Nanyang Wushu Chinese New Year Festival Show Grand Finale 2014 di pekarangan Crown Towers, Kuching, malam kelmarin.

Meskipun merupakan budaya tradisi Cina, namun ia kini tidak lagi terhad kepada satu kaum sahaja

KUCHING: Tarian singa yang semakin popular di Malaysia ketika perayaan Tahun Baharu Cina, turut berperanan sebagai alat menyatupadukan rakyat berbilang kaum di negeri ini.

Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam) Datuk Daud Abdul Rahman berkata meskipun tarian singa merupakan budaya tradisi masyarakat Cina, namun ia kini tidak lagi terhad kepada satu kaum sahaja.

Malah katanya, tarian itu tidak hanya dipersembahkan ketika perayaan Tahun Baharu Cina tetapi juga pada majlis-majlis lain sebagai simbolik kepada perpaduan dan keharmonian antara rakyat berbilang kaum.

“Semakin hari saya melihat bilangan mereka khasnya golongan muda yang menyertai acara persembahan tarian singa semakin bertambah dan tidak terhad kepada satu kaum sahaja.

“Perkembangan sihat ini menunjukkan semangat harmoni dan perpaduan dalam kalangan masyarakat di negeri ini dan saya berharap semangat ini akan berterusan pada masa akan datang,” katanya.

Daud berkata demikian ketika berucap pada Nanyang Wushu Chinese New Year Festival Show Grand Finale 2014 di pekarangan Crown Towers di sini malam kelmarin (Sabtu).

Dianjurkan oleh Persekutuan Nanyang Wushu Sarawak, pertunjukan itu merupakan acara tahunan sempena perayaan Tahun Baharu Cina  yang merangkumi pelbagai acara menarik, persembahan tarian singa dan naga serta banyak lagi acara menarik yang lain.

Pada majlis itu, Daud yang juga Menteri Muda Pembangunan Perindustrian dan Penasihat Kehormat Persekutuan Nanyang Wushu Sarawak mengumumkan peruntukan sebanyak RM5,000 kepada persekutuan bagi membiayai aktiviti-aktiviti yang bakal dianjurkan.

Sementara itu, Pengerusinya Prof Datuk Seri Dr Song Swee Hee berkata, Nanyang Wushu telah mempromosikan seni ini bertahun-tahun lamanya, memperkenalkan dan melatih belia untuk mempersembahkan tarian singa.

Nanyang Wushu katanya, berharap agar lebih ramai belia akan mengambil bahagian dalam seni berkenaan memandangkan ia merupakan satu seni yang sihat serta memerlukan disiplin yang tinggi, kerja keras dan kerjasama antara ahli.

“Kami percaya ini merupakan kaedah berkesan dalam melatih dan menyemai nilai-nilai ini kepada belia kita dan menjadikannya sebagai amalan hidup mereka.

“Dalam Nanyang Wushu, peserta-peserta kami tidak terhad kepada kaum Cina tetapi turut disertai oleh pelbagai agama dan bangsa yang lain,” katanya.

Program berkenaan turut mendapat kerjasama daripada Kementerian Belia dan Sukan Malaysia, Kementerian Pelancongan Sarawak, Kementerian Pembangunan Sosial Sarawak dan Lembaga Pelancongan Sarawak.

Turut hadir, Presiden Kehormat Persekutuan Nanyang Wushu Sarawak Tan Poh Seng, Naib Presiden Wong Ming Kong dan Ahli Jawatankuasa Voon Kim Hiong.

Advertisement