Anda di sini

PGABS anjur kejohanan bulanan di DGCC

Advertisement

DI SINI: Sabri (kiri ) beramah mesra bersama salah seorang ahli sebelum kejohanan golf bulanan PGABS bermula semalam.

KUCHING: Persatuan Golf Amatur Bumiputera Sarawak (PGABS) menganjurkan kejohanan golf bulanan (Monthly Medal) untuk ahli-ahlinya di Damai Golf and Country Club (DGCC ) mulai bulan ini.

Perkara itu dinyatakan oleh presidennya, Sabri Othman pada perasmian kejohanan tersebut yang disertai oleh 52 ahli semalam.

“Kami membuat keputusan untuk mengadakan kejohanan bulanan di DGCC termasuk kejohanan yang terbesar tahun ini iaitu Piala Presiden pada Oktober nanti,” katanya.

Menurutnya, PGABS kini mempunyai lebih 400 ahli termasuk dari luar Kuching dan menganjurkan banyak acara sebagai usaha memupuk hubungan baik di kalangan ahlinya.

“Sebelum ini, acara-acara kami turut diadakan di Kelab Golf Sarawak (KGS) dan juga di Samarahan tetapi kali ini diadakan di Damai,” katanya.

PGABS juga menganjurkan kejohanan golf ala Piala Fed Ex yang terkenal di Eropah khasnya untuk ahli-ahli yang bakal dianugerahkan mata merit untuk penyertaan dan pencapaian mereka dalam setiap siri.

Gimik ini terbukti berjaya menarik ahli-ahli menyertai acara itu secara berterusan dan membantu mengekalkan sebilangan besar peserta.

“Keahlian kami berkembang dan terdapat rancangan untuk merekrut lebih ramai terutamanya di kalangan pemain golf baharu. Kami berharap dapat menganjurkan lebih banyak acara dan aktiviti yang boleh menarik mereka untuk menjadi ahli, “ kata Sabri.

Beliau juga berkata, persatuan itu turut mengambil bahagian pada kejohanan golf masyarakat di bawah naungan Menteri Pembangunan Sosial, Tan Sri William Mawan sebagai sebahagian usaha menjalinkan hubungan lebih baik dengan persatuan-persatuan lain.

Beliau berkata, PGABS juga merancang membawa ahli-ahlinya bermain di Sabah yang akan menjalin silaturahim dengan pemain-pemain golf dari negeri jiran terbabit.

Mengenai rancangan pembangunannya, Sabri berkata persatuan itu sedang menimbang cara terbaik memulakan program tersebut yang akan membawa kebaikan kepada generasi muda terutamanya pelajar dan lepasan sekolah.

“Kami masih merancang dan mungkin akan melancarkannya apabila segala butiran mengenai pelaksanaannya selesai,” katanya.

Advertisement