Anda di sini

Penubuhan KRT perlu bermatlamat, fokus kepada penduduk

Advertisement

RASMI: Dr Annuar (tengah) memotong reben melancarkan KRT Kemuyang Fasa 1 dan Fasa 2. Turut kelihatan Susan (dua kiri) serta yang lain.

SIBU: Penubuhan Kawasan Rukun Tertangga (KRT) baharu perlu mempunyai matlamat dan fokus yang dapat memberi manfaat kepada penduduk setempat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka Dr Annuar Rapa’ee berkata perkara tersebut penting demi untuk mencapai matlamat dan hasrat kerajaan.

“Kita mempunyai banyak KRT di Sibu, begitu juga di kawasan DUN Nangka.

“Oleh itu, saya berharap penubuhan KRT baharu mempunyai matlamat dan fokus utama.

“Ini penting bagi memastikan penduduk setempat mendapat manfaat dengan melibatkan diri dalam aktiviti KRT,” katanya pada Majlis Pelancaran KRT Kemuyang Fasa 1 dan 2, semalam.

Katanya penubuhan kedua-dua KRT harus bersama jawatankuasa lain seperti masjid, surau dan pertubuhan lain menjalankan aktiviti.

“Apa yang penting adalah kesefahaman kalangan semua KRT dengan jawatankuasa lain amat penting ketika melakukan aktiviti,” ujarnya.

Dr Annuar turut memuji KRT Kemunyang yang disifatkannya contoh terbaik kerana jawatankuasa tersebut bergerak aktif menjalankan aktiviti.

Dalam perkembangan lain, beliau turut mencadangkan penubuhan Skim Rondaan Sukarela (SRS) dan pusat tuisyen ditubuhkan di kawasan Kemuyang.

“SRS perlu ditubuhkan untuk menjaga keselamatan di kawasan Kemuyang.

“Begitu juga dengan pusat tuisyen untuk keselesaan dan kemudahan anak-anak belajar,” jelasnya.

Sehubungan itu, Dr Annuar berharap cadangan tersebut mendapat maklum balas positif daripada kedua-dua KRT di kawasan Taman Kenari dan Kemuyang.

Hadir sama Pegawai Perpaduan Bahagian Sibu Susan Bennet, Pengerusi KRT Kemuyang Fasa 1 Dayang Haluyah Abang Junaidi dan Pengerusi KRT Kemuyang Fasa 2 Noriah Janjam.

Advertisement