Anda di sini

PBT harus sentiasa mengutamakan KPI

Advertisement

BERCAHAYA: Gustian (duduk empat kiri), Sufian, Dr Abdul Rahman meletakkan lilin ke dalam air pada Majlis Makan Malam Apreasasi dan Kualiti MDL di Limbang malam kelmarin.

Bagi tingkat mutu perkhidmatan, prestasi dan kurangkan aduan masyarakat
LIMBANG: Pihak berkuasa tempatan (PBT) hendaklah sentiasa mengutamakan Indeks Prestasi Utama (KPI) bagi meningkatkan mutu perkhidmatan dan prestasi jabatan sekali gus mampu mengurangkan aduan daripada masyarakat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota Dr Abdul Rahman Ismail berkata amat penting bagi PBT untuk mencapai sasaran KPI yang telah ditetapkan mereka.

“Dengan adanya KPI setiap kakitangan memberi tumpuan untuk mencapai KPI yang ditetapkan dengan lebih baik selain mengurangkan aduan daripada masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Makan Malam Apreasasi dan Kualiti anjuran Majlis Daerah Limbang (MDL) di sini malam kelmarin.

Hadir sama Timbalan Residen Bahagian Limbang Selamat Jati, Pegawai Daerah Limbang Hamdiah Bakir, Wali Kota MDL Kaunselor Sufian Mohat, Setiausaha MDL Gustian Durani, ketua-ketua jabatan, ahli-ahli MDL dan jemputan lain.

Dr Abdul Rahman berkata, pendekatan KPI dilihat amat berkesan  jika diamalkan oleh jabatan dan terbukti menerusi pentadbiran negara dalam program transformasi.

“Dalam pada itu, kita mahu MDL terus bekerja keras khususnya dalam menyelenggarakan prasarana dan kemudahan awam di sini melibatkan parit, jalan berlubang, pemotongan rumput, pengurusan sampah serta perkhidmatan lain,” ujarnya.

Justeru, MDL perlu menjadi PBT yang lebih berjaya sebagai saingan utama sekiranya ingin menjadi sebagai yang  terbaik dalam setiap perkhidmatan kepada rakyat.

Menurutnya, adalah menjadi tanggungjawab MDL untuk memastikan sistem penyampaiannya cekap dan sasaran itu perlu dijadikan sebagai KPI.

“Bukan sekadar menguruskan sisa pepejal, kebersihan awam dan keindahan bandar tetapi fungsi sebenar mereka adalah melaksanakan projek-projek pembangunan dan infrastruktur kepada masyarakat.

“MDL juga perlu proaktif dan bertindak secara strategik untuk mencapai kecemerlangan seperti yang diharapkan rakyat,” katanya sambil menambah orang awam juga perlu memberi kerjasama dan sokongan padu termasuk menghargai usaha pihak MDL menjalankan perkhidmatannya kepada masyarakat.

Advertisement