Anda di sini

Milorad, Alireza hilang arah

Advertisement

KAWAL KETAT: Ashri Chuchu cuba melepaskan diri daripada pertahanan Kelantan pada aksi Liga Super 2014 di Stadium Negeri Kuching malam Sabtu lalu.

TUMPUL: Milorad dikawal pertahanan Kelantan, Obina Nwaneri.

Sarawak kecewa tewas tipis 1-0 di tangan Kelantan pada aksi Liga Super di laman sendiridahnya

KUCHING: Penyudah tumpul jentera serangan skuad Ngap Sayot meresahkan ketua jurulatihnya, Robert Alberts selepas gandingan Milorad Janjus dan Alireza Abasfard sukar untuk merobek gawang lawan.

Kegagalan kedua-dua pemain import itu meledakkan jaringan antara faktor penyebab kekalahan Sarawak di tangan Kelantan dalam saingan Liga Super 2014 di Stadium Negeri malam kelmarin.

Dalam perlawanan itu, Sarawak hampir pasti meraih satu mata selepas dua perlawanan namun gol minit ke-90 jaringan penyerang import, Francis Forke Doe meranapkan impian Ngap Sayot.

Sarawak membariskan tiga pemain import termasuk Gabor Gyepes sepatutnya mampu menjaringkan gol terutamanya pada separuh masa pertama.

Jaringan Joseph Kalang Tie pada minit ke-43 babak pertama perlawanan dibatalkan pengadil apabila arkitek Sarawak itu berada dalam posisi ‘ofsaid’.

Kemasukan Akmal Rizal pada separuh masa kedua hampir berjaya menjaringkan gol namun percubaannya dinafikan penjaga gol Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat.

Alberts yang ditemui selepas perlawanan melahirkan rasa kecewa dengan keputusan itu terutamanya ketumpulan jentera penyudahnya.

Bagaimanapun, katanya, semua pemain juga nampak keletihan selepas mengharungi perlawanan 120 minit menentang Pulau Pinang pada malam Selasa lalu.

“Semua pemain menampilkan persembahan terbaik malam ini (kelmarin). Namun merisaukan saya ialah ketumpulan penyudah yang gagal menyempurnakan peluang terhidang,” katanya.

Sehubungan itu, Alberts berharap barisan serangan dapat menampilkan kualiti penyudah lebih berkesan apabila menentang Sime Darby FC di gelanggang sendiri (Stadium Negeri) pada 28 Januari ini (Selasa).

“Saya berharap pemain-pemain tidak mensia-siakan peluang ketika menentang Sime Darby nanti sekali gus memastikan kita berjaya mengutip tiga mata,” katanya.

Perlawanan pusingan kedua Piala FA menyaksikan Sarawak bertandang ke gelanggang lawan menentang Selangor pada 4 Februari nanti.

Advertisement