Anda di sini

Mahsuri Ria buka cawangan ketujuh di Choice World

Advertisement

SIMBOLIK PERASMIAN: Cawangan pasar raya Choice World yang ketujuh kini dibuka kepada orang ramai. Kelihatan dalam gambar Stanley (dua kiri) dan Mohamad Amin (tengah).

KUCHING: Mahsuri Ria Sdn Bhd (Mahsuri Ria) kini membuka cawangan ketujuh syarikat berkenaan di pasar raya Choice World di Muara Tebas Land District, di sini.

Pengarah Eksekutifnya Dr Allan Fernando Sulaiman Hon berkata, pembukaan cawangan baharu syarikat itu sejajar dengan permintaan pelanggan tetap Mahsuri Ria selain menyifatkan ia sebagai langkah produktif untuk lebih maju dalam bidang perniagaan.

“Kami telah memulakan operasi pada Jun tahun lalu, namun ia baharu dirasmikan hari ini atas sebab persediaan mantap yang kami perlukan sebelum benar-benar merasmikannya kepada orang ramai di seluruh Kuching.

“Selain itu, dengan sokongan padu yang kami terima daripada pelanggan setia kami, kami akhirnya berjaya membuka cawangan baharu ini khusus untuk masyarakat di kejiranan ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Pembukaan Rasmi Cawangan Choice World di sini, semalam.

Pada masa sama, beliau turut melahirkan terima kasih kepada semua kakitangan Choice World yang bertungkus lumus memastikan kumpulan tersebut berjaya membuka cawangan baharu itu.

Sementara itu, Pengerusi Mahsuri Ria Tan Sri Safri Awang Zaidell berkata, pembukaan cawangan pasar raya baharu itu diharap dapat memenuhi permintaan semasa masyarakat setempat.

“Kami menyifatkan kawasan ini merupakan kawasan membangun yang memiliki populasi masyarakat yang dipercayai mampu membantu meningkatkan pasaran pasar raya di sini.

“Selain itu, pembukaan cawangan ketujuh ini diharap dapat memenuhi permintaan pasaran setempat selain mendapat kesejahteraan melalui perayaan Tahun Baharu Cina yang akan disambut tidak lama lagi,” katanya.

Pasar raya tersebut menawarkan pelbagai barangan menarik seperti makanan kering dan basah, minuman, kelengkapan perkakas rumah dan sebagainya.

Orang ramai di kawasan sekitar dialu-alukan untuk mengunjungi pasar raya Choice World dan berpeluang membeli barangan dengan harga berpatutan.

Turut hadir Pengarah Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Negeri Stanley Tan, Pengarah Choice World Datuk Mohamad Amin Satem serta isteri, Pengarah Urusan Choice World Felix Ho serta kakitangan Choice World.

Advertisement