Anda di sini

Lebih banyak perumahan bertingkat akan dibina di Sarawak

Advertisement

SANTUBONG: Sarawak bakal menyaksikan lebih banyak perumahan bertingkat dibangunkan di kawasan- kawasan bandar disebabkan harga tanah yang semakin tinggi.

Menteri Perumahan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg berkata, tekanan untuk perumahan di bandar dilihat semakin tinggi kesan daripada penghijrahan masyarakat luar bandar ke bandar.

Justeru katanya, untuk membolehkan rumah dapat dimiliki golongan yang berhijrah ke bandar, maka ia menuntut pembangunan lebih banyak rumah bertingkat yang bukan sahaja mampu dimiliki malah selesa untuk didiami.

“Di bawah undang-undang baharu Ordinan Pembangunan Perumahan 2013 dan Ordinan Perbadanan Pembangunan Perumahan (Pindaan) 2013, pengurusan hartanah tidak hanya tanggungjawab majlis tempatan tetapi juga agensi yang berkaitan.

“Maknanya jika anda mempunyai rumah pangsa maka pembelinya akan menikmati kemudahan yang disediakan di bawah hartanah tersebut termasuk penyelenggaraan dan pengurusan hartanah,” katanya.

Abang Johari berkata demikian pada sidang media selepas bengkel ‘Joint-Strategic Transformation Retreat’ di Damai Beach Resort, Santubong di sini semalam.

Bengkel tersebut merupakan anjuran Kementerian Perumahan Sarawak (MOH), Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC) dan Daya Builders Sdn Bhd (DBSB), berlangsung mulai 24 hingga 26 Januari.

Tambah Abang Johari, sebagai permulaan kepada pembangunan perumahan bertingkat, projek perintis akan dilaksanakan tahun ini di kawasan Tabuan Melayu.

Pembangunan perumahan setinggi 12 tingkat ini merangkumi tiga blok dan dianggarkan menelan perbelanjaan RM40 juta dan dijadualkan siap dalam tempoh dua tahun setengah.

Bagi memudahkan pembeli mendapatkan pinjaman, kementerian bersama HDC dan agensi perumahan berkaitan bercadang menubuhkan anak syarikat yang dapat memberi pinjaman iaitu Mutiara Mortgage & Credit Sdn Bhd.

Lesen untuk menubuhkan syarikat ini telah diluluskan dan ia akan membantu pembeli mendapatkan pinjaman bagi membiayai pinjaman perumahan.

Mengulas mengenai bengkel tersebut, Abang Johari berkata ia bertujuan memperkasakan lagi pelaksanaan sistem perumahan berdasarkan undang-undang baharu yang telah diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri (DUN) baru-baru ini.

Undang-undang ini menuntut supaya agensi pelaksananya harus menjalankan tugas mereka mengikut apa yang dikehendaki dalam Ordinan Pembangunan Perumahan 2013 dan Ordinan Perbadanan Pembangunan Perumahan (Pindaan) 2013.

“Ketiga-tiga agensi ini mesti mempunyai rangka kerja yangdapat memberi satu pelaksanaan tugas yang lebih efektif kepada industri perumahan sama ada di peringkat swasta mahupun kerajaan.

“Dalam hal ini anak syarikat HDC akan memainkan peranan ini kerana banyak ruang baharu yang wujud disebabkan kerja-kerja di bawah bidang undang-undang yang baharu ini,” ujarnya.

Advertisement