Anda di sini

Kesedaran bahaya kebakaran dan langkah selamat diri diutamakan

Advertisement

CUBA SENDIRI: Seorang pelajar cuba memadam api dengan menggunakan alat pemadam api jenis serbuk, sambil dipantau oleh pihak bomba.

Ia akan jadi agenda utama Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarikei pada tahun ini, diperluas kepada pelajar, penduduk kampung, rumah panjang

SARIKEI: Usaha memberi kesedaran tentang bahaya kebakaran serta langkah menyelamatkan diri apabila berhadapan dengan situasi tersebut, akan terus menjadi agenda utama Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarikei pada tahun ini.

Fokus ini akan diperluaskan terutama di peringkat atau terhadap golongan pelajar, penduduk kampung dan rumah panjang.

Pegawai Bomba Kanan II (PBKII), Balai Bomba dan Penyelamat Sarikei Haron Jenai berkata, program berkenaan adalah salah satu usaha pihak bomba untuk memberi didikan awal kepada sesuatu pihak tentang langkah yang harus diambil terutama apabila berhadapan dengan situasi seperti kebakaran.

“Memandangkan anak-anak adalah golongan yang paling berisiko sewaktu berhadapan kejadian seperti ini jika mereka berada di lokasi kejadian, maka kami telah mengambil langkah awal untuk mendedahkan kepada mereka tentang tindakan yang seharusnya mereka lakukan jika berhadapan dengan situasi serupa.

“Pada masa yang sama, kami juga ingin mendedahkan kepada golongan ini bahawa talian kecemasan bukannya nombor yang boleh didail sesuka hati dan menjadi mainan kepada mereka, kerana tindakan serupa adalah menyalahi undang-undang jika dilakukan tanpa sebab atau kecemasan.

“Kami yakin, aktiviti sebegini akan memberi pendedahan dan pengetahuan awal kepada golongan ini tentang perkara yang seharusnya mereka lakukan sekiranya  berhadapan dengan situasi kecemasan, khususnya yang berkaitan dengan langkah menyelamatkan diri,” katanya.

Haron berkata demikian pada aktiviti Latihan Langkah Keselamatan Kebakaran di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St Anthony Sarikei, kelmarin.

Dalam aktiviti ini, para guru, kakitangan sekolah dan pelajar sekolah terbabit telah diberi ceramah tentang pengenalan peranan Jabatan Bomba dan Penyelamat serta langkah-langkah keselamatan diri apabila berhadapan dengan situasi kecemasan.

Menurut Haron, pada tahun ini, Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarikei telah menyasarkan akan mengadakan lebih kerap aktiviti serupa.

“Sungguhpun demikian ia bergantung kepada situasi semasa dan permintaan daripada semua pihak,” jelasnya.

Pada masa yang sama juga, kesemua pihak terbabit turut diberi peluang untuk merasai sendiri pengalaman dengan  mengendalikan peralatan memadam kebakaran yang digunakan oleh pihak bomba sewaktu mengendalikan sesuatu kejadian kebakaran.

Rata-rata semua yang terlibat dalam aktiviti aktiviti terbabit telah menunjukkan respons positif terhadap program yang telah dianjurkan.

Turut hadir Pengetua SMK St Anthony Sali Sumoh.

Advertisement