Anda di sini

Keharmonian, perpaduan kaum bukti Sarawak negeri contoh kekal keamanan

Advertisement

JASAMU DIKENANG: Hasidah (tiga kiri) menyampaikan Anugerah Jasamu Dikenang kepada Fatimah Mansur (duduk) yang banyak menyumbang dalam aktiviti PERKIM Sarawak, malam kelmarin.

MIRI: Keharmonian dan perpaduan kaum di negeri ini membuktikan bahawa Sarawak adalah satu negeri contoh yang mengekalkan keamanan seterusnya menolak sebarang ideologi ekstrem.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Samariang Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali berkata keamanan yang dinikmati hari ini perlu dikekalkan dan diwariskan kepada generasi akan datang.

“Tidak kira bangsa dan agama, kita bersama-sama menyokong satu sama lain dengan menghadiri majlis-majlis amal dan sebagainya dan ia adalah keunikan kita di Sarawak,” katanya pada Majlis Makan Malam Amal PERKIM Miri malam kelmarin.

Beliau yang mewakili Pengerusi PERKIM Sarawak Datuk Hanifah Hajar Taib memberitahu bahawa tanpa perpaduan dan dasar toleransi, maka sesuatu majlis amat sukar untuk dianjurkan.

“Menerusi perpaduan dan keharmonian kaum inilah kita dapat bersama-sama menganjurkan satu majlis secara aman dan sederhana serta mendapat sokongan kaum-kaum lain,” ujarnya.

Pada masa sama, beliau berharap PERKIM Sarawak dapat menganjurkan sesuatu aktiviti dengan memupuk nilai-nilai kesederhanaan dengan melibatkan semua pihak.

“Islam telah menggalakkan umatnya mengamalkan budaya kesederhanaan, tidak ekstrem atau terlalu liberal sebaliknya mengadakan sesuatu dengan menerap nilai-nilai kesederhanaan,” jelasnya.

PERKIM katanya, mempunyai pelbagai program atau aktiviti kebajikan dengan mendapat sokongan dana daripada sukarelawan atau penderma terdiri daripada individu atau pertubuhan.

“Individu atau pertubuhan yang menderma untuk menyokong aktiviti PERKIM Sarawak tidak perlu bimbang kerana mereka akan menggunakan dana itu untuk kebajikan rakyat,” jelasnya.

Hadir sama ialah Pengerusi PERKIM Miri Sharifah Fatimah Tuanku Pauzi, Timbalan Residen Abdul Aziz Yusuff dan Bendahari Kehormat PERKIM Sarawak Dayang Noraini.

Pada majlis sama, tiga individu yang banyak berjasa dan menyumbang dalam setiap aktiviti PERKIM Sarawak telah mendapat Anugerah Jasamu Dikenang.

Mereka adalah Maryam Abdul Hamid, Datuk Hajijah Uteh dan Fatimah Mansur.

Advertisement