Anda di sini

JKM jumpa dua murid dihukum makan rumput

Advertisement

MESRA: Rohani (tengah), Razaili (tiga kiri) bermesra dengan sebahagian pelajar SMK Pusa yang menerima bantuan awal persekolahan semalam.

Kementerian mahu dapatkan maklumat terperinci berhubung kes berkenaan, kata Rohani

PUSA: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menghantar pegawai berjumpa kanak-kanak dihukum guru makan rumput bagi mendapatkan maklumat terperinci berhubung kes berkenaan.

Dua murid di sebuah sekolah di Sungkai, Perak didakwa dikenakan hukuman itu kerana tidak menyiapkan kerja sekolah.

Menterinya Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata, setelah mendapat laporan terperinci pihaknya akan melakukan intervensi susulan terutama jika terdapat keperluan untuk kaunseling trauma memandangkan hukuman tersebut memberi kesan malu terhadap kanak-kanak tersebut.

“Pegawai JKM telah berjumpa kanak-kanak terbabit dan keluarga mereka pagi tadi (semalam) untuk menyiasat perkara sebenar yang berlaku, esok (hari ini) mereka akan berjumpa dengan pihak sekolah bagi tujuan yang sama,” katanya.

Beliau berkata demikian ditemui pada Majlis Penyerahan Bantuan Awal Persekolahan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pusa di sini semalam.

Pada masa yang sama, beliau memberitahu, peranan masyarakat amat penting dalam usaha menjaga kesejahteraan emosi dan tingkah laku kanak-kanak.

“Kita tidak mahu dengan berlakunya kejadian seperti ini emosi kanak-kanak akan terganggu sekali gus menjejaskan pelajaran mereka.

“Mungkin kejadian itu menyebabkan mereka tidak mahu datang ke sekolah kerana malu diejek kawan-kawan,” ujarnya mengulas berhubung kes dua murid sekolah di Sungkai, Perak yang didakwa dihukum memakan rumput dan dipaksa memakai kertas dilekatkan di baju sekolah kanak-kanak terbabit yang mengandungi ayat seperti ‘bodoh seperti lembu’ kerana gagal menyiapkan kerja sekolah mereka.

Rohani yang juga Ahli Parlimen Batang Lupar menyampaikan bantuan awal persekolahan RM100 kepada seramai 786 pelajar SMK Pusa dan 250 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Kalok.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beting Maro Razaili Gapor, Pengetua SMK Pusa Shamsudin Drahman dan  Guru Besar SK Kalok Salleh Manterang.

Pada majlis yang sama, Rohani turut mengumumkan peruntukan kepada PIBG sekolah terbabit berjumlah RM10,000.

Advertisement