Anda di sini

Jabatan Imigresen Sarawak pergiat Operasi Bersepadu 6P Fasa Kedua

Advertisement

KUCHING: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sarawak terus mempergiatkan Operasi Bersepadu 6P Fasa Kedua di seluruh bahagian di negeri ini.

Pengarahnya Datu Robert Lian berkata, operasi yang dilaksanakan bermula 21 Januari lalu di lima bahagian iaitu Kuching, Sibu, Miri, Limbang dan Bintulu terus menggempur lokasi sasaran yang mempunyai pendatang asing tanpa izin (PATI) atau warga asing.

“Operasi ini akan dilaksanakan sehingga April dalam usaha untuk membanteras PATI di negeri ini dan pihak penguat kuasa kami telah melakukan risikan terlebih dahulu termasuk hasil maklumat orang ramai yang juga banyak membantu kami.

“Bagi tiga hari pertama iaitu sehingga 23 Januari, sebanyak 40 operasi telah dijalankan iaitu di Kuching (26), Bintulu (6) Sibu (3), Miri (2) dan Limbang (1) dengan memeriksa seramai 962 warga asing.

“Daripada jumlah itu seramai 355 orang ditangkap kerana disyaki melanggar pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/1963 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 manakala selebihnya (607) dibebaskan,” katanya menerusi kenyataan akhbar semalam.

Robert memberitahu, antara kesalahan itu ialah berada di negeri ini tanpa memiliki pasport atau dokumen perjalanan, tinggal lebih masa, bekerja tanpa pas yang sah dan menyalahgunakan syarat-syarat pas.

Jelasnya lagi, daripada tangkapan itu warganegara Indonesia mencatat jumlah tertinggi iaitu seramai 325 orang diikuti Filipina (8), Pakistan dan Bangladesh masing-masing seorang.

“Manakala jumlah selebihnya iaitu 20 orang pula masih dalam siasatan untuk menentukan kewarganegaraan mereka,” tambahnya.

Menurutnya kesemua yang ditangkap itu daripada pelbagai sektor seperti sektor pembinaan (tujuh operasi), perkhidmatan (3), perkilanganan (5) dan perladangan (1) serta hasil operasi lain (11) seperti Ops Kutip, Ops Pintu dan Ops Sayang.

“Kesemua yang ditangkap telah ditahan di depot tahanan Imigresen di Semuja Serian dan Bekenu, Miri serta lokap tahanan polis sementara siasatan lanjut diteruskan sebelum proses pengusiran dilaksanakan nanti,” ujarya.

Justeru, beliau menyeru rakyat di negeri ini terus membantu dan memberi kerjasama dalam menyalurkan maklumat berkaitan PATI di kawasan masing-masing.

Advertisement