Anda di sini

Harga bekalan murah, peniaga diminta jual di bawah harga kawalan

Advertisement

KOTA BAHARU: Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah meminta peniaga menjual barangan di bawah harga kawalan maksimum jika mendapat bekalan lebih murah daripada pembekal sempena sambutan Tahun Baharu Cina.

Beliau berkata peniaga masih mampu meraih keuntungan walaupun tidak menjual barangan pada harga kawalan maksimum ditetapkan kerajaan kerana permintaan terhadap bekalan makanan amat tinggi ketika musim perayaan.

“Ketika tinjauan, saya lihat ada barangan dijual di bawah harga kawalan ditetapkan dan ketika ditanya kepada peniaga, dia kata dapat bekalan yang murah daripada pembekal.

“Sepatutnya peniaga-peniaga mesti ada unsur begini… kalau peniaga dapat harga murah daripada pembekal, tidak semestinya barangan dijual dengan harga maksimum yang ditetapkan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Skim Kawalan Harga sempena sambutan Tahun Baharu Cina di sebuah pasar raya di sini, semalam.

Skim kawalan harga sempena perayaan itu bermula semalam  sehingga 9 Feb depan dengan 12 barang dikawal harganya termasuk ayam hidup, ayam standard, ayam super, telur ayam gred A, B dan C, kubis bulat import, bawang putih, ikan bawal putih, udang putih  besar, daging khinzir (perut) dan daging khinzir (daging dan lemak).

Dalam pada itu, Ahmad Bashah berkata KPDNKK yakin bekalan makanan  mencukupi sepanjang musim perayaan itu dan pihak penguatkuasaan akan memantau bekalan dan harga di semua pasar raya dan kedai runcit di seluruh negara.

“Penguat kuasa turut diarahkan bertugas walaupun ketika cuti umum dan kita juga mendapat bantuan daripada badan bukan kerajaan  (NGO), selain jaminan daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang akan mengarahkan anggota polis turut membuat pemantauan.

“Kita mahu pastikan bekalan mencukupi untuk sambutan perayaan ini dan sekiranya ada peniaga cuba menjual dengan harga luar biasa atau menyorok bekalan, kita akan ambil tindakan tegas,” katanya.

Sempena sambutan Tahun Baharu Cina ini, KPDNKK menetapkan harga maksimum itu di 146 kawasan dan daerah di seluruh  negara dengan 89 kawasan di semenanjung Malaysia, 32 kawasan di Sarawak, 24 kawasan di Sabah dan satu di Wilayah Persekutuan Labuan.

Peniaga yang gagal mematuhi peraturan di bawah Akta Kawalan harga dan Antipencatutan 2011 boleh didenda sehingga RM100,000  dan penjara bagi individu serta denda RM500,000 bagi syarikat.

Tahun lepas, sebanyak 209,680 pemeriksaan dijalankan di seluruh negara dengan 257 kes direkodkan selain KPDNKK merampas pelbagai barangan berjumlah RM25,999.79 dan mengeluarkan kompaun sebanyak RM30,310.00.

Di SEPANGGAR, Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Datuk Jainab Ahmad Ayid meminta para peniaga di Sabah mempamerkan senarai harga barang kawalan sempena musim perayaan Tahun Baharu Cina.

Beliau berkata langkah itu bagi memudahkan orang ramai membuat perbandingan harga kawalan dengan harga yang dijual di pasaran.

“Kita meminta kerjasama para peniaga untuk mempamerkan senarai harga barang kawalan ini bagi menyenangkan orang ramai untuk berbelanja sempena musim perayaan ini.

“Kita juga meminta bantuan orang ramai di seluruh Sabah supaya bersama-sama kerajaan untuk memantau harga di pasaran,” katanya kepada pemberita selepas melawat sebuah pasar raya di sini, semalam.

Menurutnya senarai harga itu boleh dimuat turun dari laman web KPDNKK www.kpdnkk.gov.my. Beliau juga meminta peniaga supaya mempamerkan senarai harga itu berikutan Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Tahun Baharu Cina berkuat kuasa semalam.

Di KULIM, Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Perdagangan Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna dan Koperasi Negeri Kedah Datuk Dr Ku Rahman Ku Ismail berkata pengguna kini boleh membuat aduan di kaunter aduan di semua pasar awam di Kedah. — Bernama

Beliau berkata aduan mereka akan diambil tindakan segera oleh penguat kuasa KPDNKK yang bertugas.

“Kaunter ini diwujudkan sejak beberapa bulan lepas untuk kemudahan pengguna,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Tahun Baharu Cina peringkat Kedah di Pasar Besar Awam di sini, semalam.

Beliau berharap peniaga tidak terlalu mementingkan keuntungan berlebihan dan mematuhi senarai harga barang-barang kawalan yang ditetapkan selain meletakkan tanda harga berwarga merah jambu.

“ Jika menjual melebihi harga siling (maksimum) yang ditetapkan, individu boleh dikenakan hukuman antara RM50,000 hingga RN100,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun, sementara pihak syarikat pula boleh dikenakan hukuman denda RM500,000 atau kompaun RM50,000,” katanya.

Berhubung dengan harga “ikan rakyat” yang tidak stabil harganya seperti ikan kembung yang pernah dijual sehingga mencecah RM14 sekilogram, Ku Rahman berkata turun naik harga ikan tersebut banyak bergantung kepada permintaan dan perolehan nelayan.

“Kerajaan mencari formula untuk mengatasi masalah orang tengah yang didapati memanupulasi harga barang termasuk ikan,” katanya.

Sementara itu, Ku Rahman berkata pengguna di pasar awam di negeri ini kini memilih sayuran-sayuran seperti kobis bulat yang diimport dari Thailand kerana harganya lebih murah berbanding kobis tempatan dari Cameron Highlands, kobis import dari Indonesia dan China.

Katanya walaupun kualiti kobis itu agak rendah tetapi menjadi pilihan pengguna kerana perbezaan harga kira-kira 50 sen sekilogram bagi jualan runcit.

Dalam perkembangan berkaitan, Pengarah Bahagian Penguatkuasa KPDNKK Kedah Mohd Shukri Salleh berkata cuti semua 150 kakitangan Bahagian Penguatkuasa KPDNKK Kedah dibekukan sepanjang kempen Kawalan harga mulai semalam sehingga 9 Feb depan.

Di BENTONG, sebanyak 61 premis perniagaan di Pahang masing-masing dikenakan kompaun RM5,500 kerana tidak meletakkan tanda harga pada barangan sejak Ops Harga 2.0 dilancarkan 20 Jan lepas.

Pengerusi Jawatan Koperasi, Keusahawanan dan Kepenggunaan Pahang Datuk Shahiruddin Ab Moin berkata penguat kuasa KPDNKK negeri juga merampas barangan bernilai RM29,246.86 daripada mereka.

Penguat kuasa KPDNKK juga terus memantau harga barangan di negeri in dan tindakan tegas dikenakan terhadap peniaga yang melanggar Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011, katanya kepada pemberita selepas melancarkan Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Tahun Baharu Cina Peringkat negeri Pahang di Pasar Besar Bentong di sini, semalam.

Sejak 20 Jan lepas sehingga semalam, sebanyak 14,325 premis perniagaan diperiksa di negeri itu.

Beliau juga meminta semua pihak bersama-sama kerajaan dalam usaha mengekang kenaikan harga barangan oleh peniaga tidak bertanggungjawab.

Di BELURAN, operasi pemeriksaan dan pemantauan harga barang di Pasar Beluran di sini mendapati orang tengah dan faktor cuaca antara alasan yang diberikan peniaga yang menaikkan harga barangan.

Justeru itu, Anggota Parlimen Beluran Datuk Ronald Kiandee yang menyertai operasi itu, berharap penguat kuasa KPDNKK negeri dapat memantau aktiviti orang tengah bagi memastikan peniaga dan pembeli tidak menjadi mangsa.

“Kebanyakan peniaga yang saya temui, mereka akan memberikan alasan menaikkan harga barang disebabkan menerima barangan daripada orang tengah dengan harga tinggi.

“Jika ia membabitkan hasil laut dan sayur-sayuran, mereka memberikan alasan faktor cuaca terpaksa menaikkan harga barang disebabkan kurang mendapat bekalan, “ katanya ketika ditemui selepas operasi itu di sini, hari ini.

Ronald yang juga Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat mahu peniaga menjalankan perniagaan dengan lebih jujur dan mengikut peraturan ditetapkan.

Di KANGAR, Pengarah Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Perlis (PPDNKKPs) Khairul Amin Talib berkata pihaknya memperhebat operasi kawalan harga bagi memastikan peniaga tidak menaikkan harga barangan sewenang-wenangnya.

Beliau berkata operasi itu dijalankan sehingga 9 Feb ini bagi memastikan barang-barang terkawal dijual mengikut harga ditetapkan.

“Mana-mana peniaga yang menaikkan harga barangan akan berdepan tindakan undang-undang,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Tahun Baharu Cina 2014 di sini, semalam.

PPDNKKPs akan bekerjasama dengan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar bagi memastikan barangan keperluan utama termasuk ayam, telur ayam, daging babi dan sayur-sayuran mencukupi untuk perayaan itu.

Dalam pada itu, katanya sepanjang Ops Harga 2014, sebanyak 610 premis diperiksa dan 35 daripadanya didapati melakukan pelbagai kesalahan menyebabkan barangan bernilai RM4,221 dirampas. — Bernama

Advertisement