Anda di sini

700 dijangka hadiri makan malam sempena Simposium Ketua Masyarakat Iban 2014

Advertisement

MIRI: Seramai 700 jemputan dijangka menghadiri makan malam sempena Simposium Ketua Masyarakat Iban 2014 yang bakal diadakan pada 28 Februari 2014 di Mega Hotel Miri.

Menurut pengerusi penganjur Pemanca Wilson Siang Lim, ia bakal dirasmikan oleh Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang.

“Setelah simposium diadakan sebelah siang, program diteruskan dengan acara majlis makan malam,” katanya kepada Utusan Borneo baru-baru ini.

Majlis makan malam itu katanya bertujuan untuk mengeratkan lagi perhubungan antara semua ketua masyarakat Iban Miri serta peserta simposium.

Sebelumnya, simposium sebelah pagi merupakan anjuran bersama Ketua Masyarakat Komuniti Iban Miri (KMKIM), Institut Pendidikan Guru Kampus Sarawak (IPGKS) dan Radio Televisyen Malaysia (RTM) Miri Seksyen Iban.

Simposium yang bakal dihadiri oleh 300 orang itu berkisarkan hal pendidikan, ekonomi dan pembangunan sosial masyarakat.

Bertemakan ‘Betungkat Ke Adat, Penemu Digenggam Serta Pengarap Dikemerat’ akan diikuti oleh  ketua-ketua masyarakat Iban, ketua kampung, pengakses badan kehakiman, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Iban, guru, pegawai dan kakitangan kerajaan dari Miri serta Subis/Sibuti.

Antara yang bakal menyampaikan ceramah adalah Dr Chemaline Osup daripada Fakulti Bahasa Moden, Universiti Pendidikan Sultan Idris, Dr Madeline Brema daripada Fakulti Ekonomi dan Perniagaan, Universiti Kebangsaan Malaysia serta Padang Luna daripada Pusat Pembangunan Kurikulum Dialek Etnik, Kementerian Pendidikan.

Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Alexander Nanta Linggi bakal menyempurnakan upacara perasmian simposium itu.

Simposium bertujuan untuk mendapatkan respons dan tindak balas terutama daripada pemimpin mengenai pendekatan bagi memelihara kebudayaan etnik Iban termasuk hal-hal berkaitan nilai, dialek, tradisi, amalan dan adat dari semasa ke semasa.

Advertisement