Anda di sini

UiTM diseru lakar lebih banyak kejayaan

Advertisement

KOTA SAMARAHAN: Rektor Universiti Teknologi MARA (UiTM) Sarawak Prof Datuk Jamil Hamali mengajak semua kakitangannya berinovasi untuk melakarkan lebih banyak kejayaan bagi 40 tahun akan datang.

Menurutnya, meskipun banyak kejayaan dicatatkan sejak 40 tahun bertapak di negeri ini, kakitangan UiTM tidak harus leka supaya matlamat untuk mengubah destini rakyat Sarawak dapat dicapai dengan jayanya.

“Saya mengajak semua kakitangan untuk memikirkan bukan setakat meraikan 40 tahun UiTM bertapak di Sarawak, tetapi kita perlu untuk 40 tahun akan datang melihat apakah yang perlu dibuat untuk memberi impak kepada rakyat Sarawak supaya kita dapat mengubah destini mereka serta memberi pendidikan berkualiti kepada rakyat khasnya masyarakat tempatan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Malam Gala dan Anugerah Khidmat Cemerlang kepada 54 kakitangan UiTM di Dewan Jubli, Kampus Kota Samarahan di sini, malam kelmarin.

Jamil memberitahu, antara cabaran baharu yang bakal ditempuhi adalah tambahan dua kampus baharu UiTM iaitu di Kota Samarahan dan Mukah.

“Cabaran kita semakin besar. Mulai tahun lepas kita telah menerima kampus baharu iaitu UiTM Samarahan Dua yang boleh memuatkan 4,000 pelajar serta satu lagi di Mukah.

“Kita kini mempunyai tiga kampus dan disebabkan ia di lokasi berasingan, maka cabaran dan peranan kita semakin mencabar,” tambahnya.

Namun, beliau percaya kebolehan semua kakitangannya dalam memastikan lebih banyak kejayaan dapat dicapai bagi menyediakan pendidikan berkualiti kepada anak Bumiputera khususnya rakyat tempatan.

“Saya percaya selepas 40 tahun kita telah membuktikan bahawa kita adalah kakitangan berkualiti yang terbukti dengan pencapaian kita selepas memenangi Anugerah Kualiti Ketua Menteri Sarawak pada 2010 serta Anugerah Kualiti Naib Canselor untuk empat tahun berturut-turut,” jelasnya.

Selain itu, katanya, ramai graduan UiTM berjaya menempah kejayaan serta menjawat jawatan penting di peringkat negeri mahupun persekutuan.

“Ramai graduan UiTM dalam kabinet negeri dan persekutuan sekarang ini jadi kita amat berbangga atas pencapaian mereka ini.

“Ia membuktikan kita di UiTM telah memainkan peranan yang boleh dibanggakan selama 40 tahun ditubuhkan di negeri ini, justeru saya mahu kamu semua mengulangi kejayaan ini dan melahirkan lebih ramai graduan yang berjaya di negeri ini,” ujarnya.

Advertisement