Anda di sini

RPL akan bawa banyak manfaat kepada Sarawak

Advertisement

SERIAN: Program pengiktirafan pencapaian terdahulu (RPL) akan membawa banyak manfaat kepada penduduk Sarawak apabila ia dilaksanakan kelak, kata Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Richard Riot Jaem.

Beliau berkata, masih terlalu awal untuk mengetahui bila program itu dilaksanakan meskipun kementeriannya telah mengarahkan semua agensi terlibat untuk menyediakan diri bagi pengenalan RPL di negara ini.

“Ini adalah antara strategi yang dikaji dan diusahakan oleh kementerian saya dalam usaha mewujudkan lebih ramai tenaga kerja berkemahiran dalam negara bagi mencapai ekonomi berpendapatan tinggi,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan pelancaran Bantuan Khas  Awal Persekolahan 1Malaysia untuk sekolah-sekolah di Serian di Sekolah Kebangsaan (SK) St Dominic Pichin di sini, semalam.

Riot yang juga Ahli Parlimen Serian menjelaskan di bawah program RPL, pegawai penilai dan pengesah dari empat institusi terkemuka akan terlibat untuk melatih pegawai penilai dan pengesah tempatan dalam jangka masa tiga tahun.

Katanya, kerajaan bekerjasama dengan empat kolej di United Kingdom iaitu di Wales, England, Scotland dan Ireland untuk berkongsi kepakaran dengan universiti-universiti tempatan.

“Perkongsian pengetahuan dan pertukaran pengalaman dengan orang kita sendiri nanti akan menyenangkan kita membuat penilaian terhadap sesiapa yang mempunyai banyak pengalaman dan kemahiran bekerja tetapi tidak mempunyai dokumen kelayakan untuk mendapatkan sijil.

“Kita mempunyai ramai orang dalam kategori ini dan apabila program ini dilaksanakan kelak, kita mahu mereka mendaftar kerana apabila mereka lulus penilaian dan pengesahan, mereka akan diberi sijil yang setaraf dengan ijazah,” katanya.

Beliau menambah, perkara itu adalah antara pelbagai langkah diambil oleh kerajaan untuk menambah buruh berkemahiran pada masa depan.

Menurutnya, perkara itu telah dibincangkan dan dipersetujui oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang meluluskan sejumlah peruntukan untuk program itu.

“Dengan program ini, saya yakin kita mampu mencapai 50 peratus tenaga mahir menjelang 2020,” katanya.

Beliau berkata, setakat ini hanya 28 peratus daripada sejumlah 14 juta tenaga kerja di negara ini merupakan tenaga mahir, manakala 10 peratus dari jumlah itu adalah dalam sektor awam dan selebihnya sektor swasta.

“Jika kita tidak berbuat sesuatu sekarang, kita tidak akan berupaya mencapai sasaran untuk mempunyai 50 peratus pekerja mahir dalam tempoh enam tahun dari sekarang sekaligus tidak dapat mencapai status ekonomi berpendapatan tinggi,” katanya.

Advertisement