Anda di sini

Pusat Islam jadi mercu tanda baharu UNIMAS

Advertisement

KOTA SAMARAHAN: Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) bakal mempunyai mercu tanda baharu di kampus dengan perasmian Pusat Islam yang berkonsepkan kontemporari dan moden.

Menurut kenyataannya semalam, Pusat Islam dengan kos pembinaan sebanyak RM43 juta itu menempatkan pelbagai kemudahan yang boleh digunakan oleh warga kampus dan masyarakat sekitar.

Antara kemudahan yang disediakan ialah ruang solat yang boleh memuatkan seramai 4,000 jemaah pada satu-satu masa, Dewan Seminar dan Syarahan dengan kapasiti 300 orang setiap bilik, bilik mesyuarat dan sebuah taska yang disediakan untuk anak-anak kakitangan universiti itu.

Selain digunakan untuk tujuan solat, pusat itu juga akan dapat digunakan untuk menganjurkan persidangan, pameran serta seminar sama ada dianjurkan oleh UNIMAS atau pihak luar.

Majlis perasmian Pusat Islam UNIMAS dijangka diadakan pada 11 Februari 2014 oleh Yang di-Pertua Negeri Tun Datuk Patinggi Abang Muhammad Salahuddin yang juga Canselor UNIMAS.

Dengan terbinanya Pusat Islam, ia diharapkan bakal memberikan sinar baharu dalam wacana kerohanian di kalangan kakitangan dan pelajar, serta mengukuhkan perpaduan ummah bukan sahaja warga kampus, malah untuk masyarakat sekitar Kota Samarahan dan bandar raya Kuching.

Advertisement