Anda di sini

Pindaan Akta Kanak-Kanak 2001 harap diluluskan segera

Advertisement

KUCHING: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) berharap cadangan Rang Undang-Undang Pindaan Akta Kanak-Kanak 2001 akan disemak dan diluluskan segera oleh Jabatan Peguam Negara.

Menterinya, Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata, pindaan itu telah dikemukakan kementeriannya kepada Peguam Negara pada 21 Oktober lepas.

“Rang Undang-Undang Kanak-Kanak (Pindaan) itu dijangka akan dibentangkan kepada jemaah Menteri dan seterusnya ke Parlimen pada Mac ini. Ia mungkin dilaksanakan tahun ini juga.

“Sekarang, kita ingin maklumkan sebanyak lebih kurang 70 peratus pindaan telah dibuat KPWKM, maka kita bergantung kepada budi bicara Peguam Negara untuk menentukan sama ada ia pindaan atau akta yang baharu apabila diluluskan nanti,” ujarnya ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Makan Malam KPWKM bersama Persatuan Wartawan Bahagian Kuching (KDJA), malam kelmarin.

Antara kandungan pindaan akta yang didedahkan beliau kelmarin ialah denda RM20,000 dan 10 tahun penjara ditambah dengan kerja-kerja khidmat masyarakat (mengikut jam).

Jelasnya, banyak jenis pengabaian yang telah dilakukan oleh ibu bapa, contohnya meninggalkan anak mereka berkunci di rumah atau dalam kereta.

“Ia telah berlaku di mana-mana, dan dengan tekanan di tempat kerja, juga tekanan sebagai ibu bapa muda menyebabkan KPWKM mewajibkan pasangan yang hendak berkahwin agar mengambil kursus SMART PART terlebih dahulu,” ujarnya.

Katanya lagi, kementerian merancang untuk bekerjasama dengan Jabatan Agama Islam atau gereja-gereja di seluruh negara untuk memastikan pasangan yang hendak mendirikan rumah tangga menyertai kursus berkenaan.

“Kita cuma hendak melihat sama ada ia lebih berkesan dan kami tidak bermaksud untuk menghukum tetapi lebih kepada memastikan kanak-kanak diberi penjagaan dan kasih sayang atau layanan yang setimpal,” tegas Rohani.

Tindakan itu juga selaras dengan hasrat kementeriannya untuk membahagiakan masyarakat selain mengukuhkan institusi kekeluargaan, katanya.

Antara kenamaan yang hadir memeriahkan majlis ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balai Ringin Snowdan Lawan, Ketua Setiausaha KPWKM Datuk Seri Dr Noorul Ainur Mohd Nur dan Presiden KDJA Sulok Tawie.

Turut hadir Ketua Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Abdullah Saidol, Menteri Muda Alam Sekitar Datu Len Talif Salleh, Presiden SLTA Datuk Patrick Liew dan Pengerusi Majlis Makan Malam KPWKM bersama KDJA Jacqueline R. David.

Advertisement