Anda di sini

Penduduk Kampung Sg Buri kesusahan, jalan sukar dilalui

Advertisement

MIRI: Penduduk Kampung Sungai Buri, Bakong di sini berada dalam kesusahan apabila satu-satunya jalan raya menghubungkan mereka dengan kawasan lain sukar dilalui akibat keadaannya rosak teruk.

Seorang penduduk di kawasan tersebut, Gasah Tedong, 48, memberitahu bahawa terdapat sebuah tempat kenderaan tidak akan dapat melaluinya walaupun menggunakan pacuan empat roda (4X4WD).

“Kenderaan tidak dapat melalui jalan raya rosak teruk itu walaupun menggunakan kenderaan pacuan empat roda, hanya jika dipancitkan tayarnya sehingga habis,” katanya di sini semalam.

Menurutnya, keadaan itu menyukarkan penduduk untuk keluar dan masuk ke kampung apabila ada urusan lain.

“Ada orang kampung yang sakit tidak dapat keluar untuk mendapatkan khidmat perubatan disebabkan jalan raya yang rosak teruk itu,” jelasnya.

Bukan itu sahaja, malah guru-guru yang mengajar di kawasan tersebut terpaksa meninggalkan kenderaan di kawasan jalan raya terbabit dan menggunakan kenderaan lain untuk masuk ke kampung.

“Kita mengalami masalah ini sejak dua minggu lalu dan belum ada tindakan diambil untuk memperbaikinya,” ujar beliau.

Oleh sebab itu, beliau yang turut mewakili penduduk kampung memohon bantuan pihak bertanggungjawab untuk segera mengambil tindakan.

“Saya harap jalan raya itu dapat diperbaiki sesegera mungkin kerana jika tidak hidup kami susah kerana tidak dapat keluar-masuk ke kampung seperti dahulu,” kata Gasah.

Beliau menambah bahawa keadaan jalan raya itu juga menjadi begitu teruk disebabkan keadaan cuaca yang kerap hujan sejak kebelakangan ini.

Advertisement