Anda di sini

Penangan sang bedal

Advertisement

Penduduk bimbang buaya muncul di tebing Sungai Sarikei

SARIKEI: Kemunculan seekor buaya dianggarkan 11 kaki pan­jang berjemur di tebing Sungai Sarikei pada jam 1 petang semalam menarik perhatian penduduk tempatan.

Bagi penduduk di sini, kejadian itu dianggap sesuatu yang pelik dan menarik kerana ia jarang berlaku dan dilihat oleh mereka.

Seorang penduduk, Majid Salleh, 45, berkata, kejadian itu adalah kali kedua berlaku selepas kali pertama pada 15 Disember 2012.

“Apa yang menariknya, buaya terbabit berjemur di lokasi sama sep­erti tahun tersebut. Pada pendapat saya, buaya berkenaan adalah buaya yang sama.

“Pada kali ini, buaya terbabit berjemur dalam tempoh agak lama sekitar 15 minit.

“Orang ramai membanjiri Jam­batan Sarikei menyaksikan ‘gelagat’ buaya berkenaan, namun tidak mengganggunya, malah ia terus mengangakan mulutnya seolah-olah keadaan itu biasa baginya,” cerita Majid ditemui semalam.

Pada masa yang sama, beberapa penduduk menyuarakan kebim­bangan terhadap kehadiran buaya terbabit di lokasi berkenaan.

“Kebimbangan ini adalah kerana buaya tersebut berada terlalu dekat dengan kediaman penduduk, teruta­manya yang tinggal di tebing Sungai Sarikei.

“Kita bimbang jika perkara yang tidak diingini berlaku, terutama jika buaya berkenaan mengganas dan membaham manusia.

“Kita mahu pihak terbabit men­gambil langkah drastik menangkap dan memindahkan buaya berkenaan ke kawasan jauh daripada manusia,” kata penduduk, Abdul Samad.

Tambahnya, kerisauan itu beriku­tan ada kalangan penduduk kerap berada di tebing sungai berkenaan khususnya ketika menjalankan ak­tiviti harian.

“Bagi ibu dan bapa pula, kita turut mengingatkan agar mereka memantau aktiviti anak-anak agar menjauhi kawasan tebingan sungai terbabit.

“Jangan biarkan anak-anak ber­main, mandi, mengail atau melaku­kan aktiviti lain di sungai kerana boleh mendatangkan bahaya yang tidak diduga,” katanya.

Bagi Suhaili Azam, 52, kehadiran buaya di lokasi tersebut menim­bulkan kerisauan dan kebimbangan khususnya bagi penduduk kampung sekitar.

“Beberapa penduduk kampung berdekatan iaitu Kampung Drahman Keria memberitahu buaya terbabit kerap timbul di kawasan berkenaan sejak beberapa hari lalu.

“Tindakan menangkap dan memin­dahkan buaya tersebut harus dilaku­kan segera kerana perairan berkenaan adalah salah satu tempat yang kerap untuk kami mencari rezeki.

“Kehadiran buaya terbabit di tempat kita bergantung sepenuhnya mencari rezeki adalah satu anca­man,” katanya.

Kehadiran buaya tersebut ternyata menyebabkan kesesakan di Jam­batan Sarikei, semalam.

Advertisement