Anda di sini

Mayat mangsa bot karam Bintangor dijumpai

Advertisement

PROSES SIASATAN: Mayat Kenny dibawa polis ke Hospital Sarikei untuk proses bedah siasat, semalam.

Dijumpai jam 11.57 pagi semalam, kira-kira satu kilometer dari lokasi kejadian

BINTANGOR: Mayat lelaki yang dipercayai mangsa bot karam di Batang Rajang, Kenny Bisa, 28, dijumpai pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Bintangor sekitar jam 11.57 pagi semalam.

Mayat tersebut dijumpai pasukan yang terlibat dalam Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) kira-kira satu kilometer dari lokasi kejadian.

Dalam kejadian terbabit, bot yang ditumpangi mangsa bersama 17 orang penduduk dari Rumah Usop, Sungai Sian Bintangor dalam perjalanan mengebumikan salah seorang penduduk di tanah perkuburan di Nanga Bangit, telah karam dipukul ombak kuat sebuah kapal yang secara kebetulan melintasi bot terbabit.

Sebaik bot berkenaan karam, mangsa-mangsa kejadian berusaha menyelamatkan diri dengan berenang ke tebing sungai manakala mangsa pula berusaha menyelamatkan adiknya yang tidak pandai berenang.

Apabila berjaya menyelamatkan adiknya, mangsa terus tenggelam dan dibawa arus sungai yang deras pada masa kejadian.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Bintangor mengesahkan penemuan mayat seorang lelaki yang mempunyai ciri-ciri seperti mangsa yang dilaporkan hilang.

Katanya mayat tersebut dihantar ke Hospital Sarikei untuk menjalani proses siasatan.

Sementara itu, Pegawai Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Sarikei Mohd Noor yang turut sama dalam operasi berkenaan berkata dengan penemuan itu operasi SAR dijalankan sejak mangsa dilaporkan hilang (Jumaat) akan dihentikan.

“Sebaik sahaja mayat tersebut dijumpai dan dibawa ke Dermaga Bintangor, ahli keluarga mangsa telah membuat pengesahan identiti mayat dan mengesahkan mayat tersebut adalah Kenny.

“Mayat dijumpai itu masih lengkap berpakaian seperti yang telah dilaporkan berbaju oren dan berseluar panjang hitam,” kata Mohd Noor ketika dihubungi di sini semalam.

Operasi SAR yang dilancarkan selama tiga hari melibatkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Bintangor, JPAM Sarikei, polis, Pasukan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan orang awam.

Advertisement