Anda di sini

Adu terus jika tidak puas hati tindakan penguat kuasa: KPDNKK

Advertisement

KUCHING: Golongan peniaga perlu mengemukakan aduan kepada Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) negeri secara terus sekiranya mempersoalkan tindakan yang dikenakan terhadap mereka.

Timbalan Pengarah pejabat KPDNKK Negeri Mohd Nor Musa berkata, membuat aduan menerusi pihak ketiga tidak akan menyelesaikan sebarang permasalahan.

“Kita tidak mahu berdebat dalam surat khabar. Kalau dia tidak puas hati, dia patut tulis surat (aduan) kepada kita. Kalau kata nak berjumpa di mahkamah, kita bersedia untuk berjuang di mahkamah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada program tinjauan harga barang bersama Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar, di Pasar Komuniti Stutong di sini, semalam.

Beliau diminta mengulas mengenai laporan akhbar bahawa beberapa peniaga di pusat beli-belah di Jalan Song menyatakan kekecewaan atas sikap dan tindakan sesetengah pegawai penguasa dari KPDNKK ketika menyerbu premis mereka pada 9 dan 19 Januari lalu.

Dalam serbuan itu, difahamkan mana-mana barang jualan murah tidak mempunyai permit dirampas dari premis-premis berkenaan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kawah Christina Chiew mendakwa,  para peniaga tersebut tidak tahu mengenai keperluan mendapatkan permit bagi menawarkan harga diskaun terhadap barangan.

“Memandangkan mereka (peniaga) tidak tahu mengenai keperluan untuk mendapatkan permit bagi menawarkan harga diskaun dan memandangkan mereka pertama kali didapati bersalah, maka adalah wajar mereka diberikan surat amaran sahaja dan bukannya barangan dirampas,” kata Chiew yang dipetik sebagai berkata.

Mohd Nor berkata, pihak penguat kuasa KPDNKK sekadar menjalankan tugas yang dipertanggungjawabkan susulan aduan diterima daripada pengguna menyatakan diri tertipu dengan harga ditawarkan di premis-premis pusat beli-belah tersebut.

“Bila kita periksa, dia orang tidak ada menghantar notis dan ini memang satu kesalahan di bawah peraturan-peraturan Perihal Dagangan Harga Jualan Murah 1997,” katanya.

Di bawah peraturan itu, jelasnya, peniaga perlu menghantar notis 14 hari sebelum hari jualan murah bagi membolehkan pihak kementerian menjalankan prosedur sepatutnya.

“Kita tidak mahu situasi bila peniaga kata buat jualan murah, mereka naikkan baju yang bernilai RM100 kepada RM200, dan kemudian beri diskaun 50 peratus.

“Sebab itu, notis itu penting bagi membolehkan penguat kuasa untuk memeriksa harga jualan terlebih dahulu sebelum jualan murah berlangsung bagi memastikan peniaga betul-betul menawarkan harga barangan lebih murah,” katanya.

Advertisement