Anda di sini

Wong harap diberi peluang bukti kebolehan

Advertisement

Wong

SIBU: Dato Andrew Wong Kee Yew yang dilantik sebagai Timbalan Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu (MPS) berharap penduduk Sibu memberikan peluang kepadanya membuktikan yang beliau boleh melakukan sesuatu untuk bandar ini.

Menurut Wong, adalah tidak adil jika penduduk bandar ini membuat penilaian awal terhadapnya memandangkan beliau masih belum menjalankan tugas.

“Berilah saya masa untuk menjalankan tugas sebagai Timbalan Pengerusi MPS terlebih dahulu dan orang ramai boleh membuat penilaian terhadap saya selepas 100 hari,” ujarnya pada sidang media, petang semalam.

Wong, 38, merupakan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kolej Bersatu Sarawak (UCS) yang kemudian dikenali sebagai Kolej Laila Taib (KLT) selama 14 tahun.

Beliau juga merupakan anak kepada Menteri Kewangan Kedua merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Kemajuan Masyarakat, Dato Sri Wong Soon Koh.

Wong turut menyangkal dakwaan banyak pihak yang mengatakan pelantikannya sebagai Timbalan Pengerusi MPS adalah atas campur tangan ayahnya.

“Itu suatu tanggapan yang tidak benar. Sebaliknya pelantikan ini dibuat oleh kabinet negeri yang diketuai oleh Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu.

“Saya berharap tanggapan seperti itu tidak lagi timbul,” katanya sambil menambah, beliau pernah mengalami situasi sama ketika dilantik menjadi CEO UCS/KLT pada tahun 2001.

Ditanya sama ada beliau mampu memikul tugas sebagai Timbalan Pengerusi MPS memandangkan tidak mempunyai pengalaman dalam pihak berkuasa tempatan (PBT), Wong berkata, kerja keras dan komitmen adalah lebih penting.

Katanya, kedua-dua aspek itu amat penting kepada mereka yang tidak mempunyai pengalaman sepertinya.

“Namun, saya tidak bimbang kerana Pengerusi MPS Datuk Tiong Thai King masih ada untuk memberi tunjuk ajar,” jelas Wong sambil merayu orang ramai agar tidak bimbang dalam soal itu.

Justeru, Wong berterima kasih kepada kerajaan negeri kerana memberi kepercayaan kepadanya dengan melantik beliau sebagai Timbalan Pengerusi MPS.

Pelantikan itu, katanya, menunjukkan kerajaan negeri memberi kepercayaan kepada golongan muda untuk memimpin dan mengambil bahagian dalam membuat keputusan di peringkat PBT.

Jawatan Timbalan Pengerusi MPS sebelum ini disandang oleh Daniel Ngieng Kiong Ann.

Advertisement