Anda di sini

Wakil rakyat mempunyai kewajipan untuk bantu rakyat diwakilinya

Advertisement

KUCHING: Pemuda Pusat Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) menegaskan dan percaya bahawa wakil rakyat (Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri) mempunyai kewajipan untuk membantu rakyat di kawasan masing-masing bagi mengendali serta menyelesaikan masalah yang dihadapi mereka.

Bagaimanapun menurut Pemuda SUPP Pusat, mereka memerhatikan bahawa terdapat perubahan drastik dalam landskap politik negara sejak Pilihan Raya Umum (PRU) lepas, yang mana sejumlah besar pemimpin parti pembangkang telah menang dan dipilih.

“Pada mulanya, rakyat mempunyai harapan tinggi kepada wakil rakyat pembangkang hanya kerana mereka telah berjanji kepada rakyat jika dipilih, mereka akan berkhidmat kepada rakyat di kawasan mereka dengan sepenuh hati.

“Namun agak menyedihkan dengan sikap wakil rakyat pembangkang apabila diminta untuk berkhidmat kepada rakyat selain kualiti perkhidmatan mereka agak mengecewakan,” kata Pemuda SUPP Pusat melalui kenyataan akhbar yang dikeluarkan di sini, semalam.

Malahan kata Pemuda SUPP, kebanyakan wakil rakyat pembangkang hanya pandai mengadakan sidang media atau mengeluarkan kenyataan akhbar.

Mereka membangkitkan isu-isu tetapi tidak ada tindakan realistik pernah diambil untuk membantu menyelesaikan masalah.

Malahan kata mereka, wakil rakyat pembangkang yang dipilih harus turun padang dan mula berkhidmat kepada rakyat seperti Tan Sri Lee Lam Thye, bekas wakil rakyat DAP.

Sebaliknya bagi Pemuda SUPP Pusat, mereka tidak hanya bercakap tentang membantu rakyat yang kurang bernasib baik, termasuk warga emas, golongan orang kurang upaya dan hidup di bawah garis kemiskinan.

Misalnya baru-baru ini, ibu tunggal Pui Nyet Fong yang kehilangan rumahnya disebabkan kebakaran kira-kira sebulan lalu, menerima berita baik daripada Setiausaha Pemuda SUPP Pusat Wilfred Yap kelmarin, apabila beliau berjaya memperbaharui Lesen Penempatan Sementaranya (TOL).

Dengan TOL berkenaan Pui kini mampu membina semula rumahnya di atas tanah yang sama di mana dia dan anak-anaknya telah tinggal bertahun-tahun.

“Apabila ada mereka yang mencari kami untuk mendapatkan bantuan, kami berjanji kepada mereka, kami akan berusaha sebaik mungkin.

“Kita tidak boleh mengetepikan janji ini dengan alasan kerana apabila anda dipilih sebagai wakil, ia bermakna rakyat meletakkan amanah kepada anda untuk berkhidmat kepada mereka, maka hormati janji-janji kepada mereka,” kata Yap melalui kenyataan media.

Advertisement