Anda di sini

Tanah runtuh di Miri, 16 nyaris tertimbus

Advertisement

BERBAHAYA: Lee (dua kiri) dan Lawrence (dua kanan) meninjau kawasan tanah runtuh di Jalan Kampung Katong, Lopeng semalam.

MIRI: Seramai 16 orang termasuk dua kanak-kanak terselamat dalam kejadian tanah runtuh yang hampir menimbus kediaman mereka di Batu 1, Pujut Padang Kerbau di sini, semalam.

Kesemua mangsa yang berusia antara empat dan 53 tahun berada di rumah ketika tanah dari kawasan berbukit di belakang kediaman mereka mulai runtuh pada jam 9.30 pagi.

Kejadian itu merosakkan bilik mandi dan bahagian dapur rumah kayu dua tingkat terbabit yang dihuni oleh enam keluarga.

Pemilik rumah yang juga seorang kontraktor, Abdullah Kassim, 53, berkata sejurus sebelum kejadian, beliau serta keluarganya dan penghuni lain yang kesemuanya adalah saudara-mara beliau, terdengar bunyi kuat dari arah belakang rumahnya.

“Apabila kami menyiasat, kami ternampak tanah di lereng bukit itu mulai susur ke bawah.

“Serentak itu, tanpa diarah kami semua yang berada di dalam rumah terus keluar menyelamatkan diri masing-masing ke kawasan selamat tanpa sempat mengambil barang dan dokumen penting milik kami,” katanya ketika ditemui semalam.

Beliau berkata, mereka amat bernasib baik kerana tanah runtuh tersebut tidak menghala tepat ke arah rumahnya sebaliknya hanya di sebelah kanan rumahnya dan terus ke jalan raya.

Runtuhan tanah yang menimbus Jalan Pujut Padang Kerbau tersebut menyebabkan kesesakan jalan, sekali gus memaksa para pemandu kenderaan menggunakan jalan alternatif.

Sementara itu, Abdullah memberitahu kesemua ahli keluarga besarnya yang terselamat dalam kejadian itu terpaksa berpindah dan menumpang sementara di rumah rakan kerana bimbang kemungkinan berlaku runtuhan seterusnya.

Dalam satu insiden berasingan, runtuhan tanah turut berlaku di Jalan Kampung Katong, Lopeng yang terletak kira-kira lima kilometer dari tempat kejadian di Jalan Pujut Padang Kerbau.

Kedua-dua kejadian tanah runtuh tersebut dipercayai berlaku selepas hujan lebat tanpa henti sejak tiga hari lepas di bandar raya ini.

Ia merupakan insiden tanah runtuh yang pertama berlaku di sini pada tahun ini.

Sementara itu, Menteri Muda Perhubungan Datuk Lee Kim Shin yang melawat kedua-dua kawasan terbabit memberitahu, beliau sudah mengarahkan pihak Majlis Bandaraya Miri (MBM) untuk mengkaji dan membuat anggaran peruntukan bagi kerja-kerja membaik pulih jalan yang terjejas akibat tanah runtuh itu.

“Ini kerana jalan berkenaan adalah di bawah bidang kuasa MBM. Selepas mereka melakukan kajian dan mendapatkan anggaran untuk menampung kos akibat tanah runtuh tersebut, MBM akan memohon bagi mendapatkan peruntukan daripada kementeriannya,” jelas Lee.

Mengiringi beliau dalam lawatan ke kawasan tanah runtuh tersebut semalam ialah Datuk Bandar Miri, Lawrence Lai serta jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR).

Advertisement