Anda di sini

Taib tidak sesuai jadi TYT: Chong

Advertisement

SIBU: Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak Chong Chieng Jen menyifatkan Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud bukan calon yang sesuai bagi menyandang jawatan Yang di-Pertua Negeri seterusnya.

Menurut Chong, memandangkan tempoh pelantikan Yang di-Pertua Negeri sekarang akan tamat tidak lama lagi, timbul pelbagai spekulasi berhubung siapa yang akan menyandang jawatan tersebut.

Malah katanya, ramai yang membuat spekulasi menyatakan bahawa Ketua Menteri akan menjadi Yang di-Pertua Negeri seterusnya.

“Pada pendapat kami, mereka yang dilantik menjadi Yang di-Pertua Negeri hendaklah bebas daripada siasatan jenayah dan rasuah,” ujarnya pada sidang media, semalam.

Dalam pada itu, Chong juga memberitahu bahawa pemansuhan permit import (AP) bagi pembelian kenderaan import merupakan satu lagi janji kosong kerajaan Barisan Nasional (BN).

Katanya kerajaan berjanji untuk menyemak AP sebelum Pilihan Raya Umum yang lepas, namun sehingga kini masih belum ada keputusan dibuat.

“Dan apa yang diumumkan adalah harga kereta mungkin akan diturunkan menjelang 2018, di mana Pilihan Raya Umum seterusnya akan diadakan,” jelas beliau.

Chong memberitahu, pemansuhan AP tidak akan menjejaskan pengedar kenderaan, alat ganti, mekanik dan industri lain yang berkaitan.

“Mereka yang terjejas dengan pemansuhan ini adalah pemegang AP yang berkenaan,” tambahnya.

Advertisement