Anda di sini

Tabung Bank Darah Hospital Miri perlukan bekalan darah

Advertisement

MIRI: Tabung Bank Darah Hospital Miri memerlukan lebih ramai sukarelawan untuk menderma darah bagi menampung kekurangan bekalan darah berikutan peningkatan penggunaannya.

Pegawai Kesihatan Tabung Darah Miri Dr Manju Inder berkata meskipun semua bekalan darah jenis A, B, AB dan 0 semakin berkurangan tetapi ia tidak begitu membimbangkan.

“Kami memerlukan kerjasama orang ramai untuk tampil menyokong Kempen Derma Darah bagi memastikan bekalan darah di sini sentiasa mencukupi meskipun pada musim perayaan,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Menurutnya, meskipun penggunaan bekalan darah dilaporkan meningkat sejak beberapa bulan lalu namun pihaknya masih mempunyai bekalan darah yang mencukupi.

“Kami berterima kasih kepada orang awam yang tampil membantu kami dengan menderma darah dan kami berharap jumlah penderma darah akan terus meningkat,” ujarnya.

Bagi memastikan bekalan darah sentiasa ada, pihaknya turut mengadakan beberapa siri Kempen Derma Darah di beberapa lokasi terpilih.

Antaranya ialah kempen yang diadakan semalam (Rabu) di Institut Kemahiran Belia Negara Miri (IKBN) melibatkan pelajar bermula 9 pagi hingga 1 petang.

Lokasi kedua ialah Klinik Kesihatan Beluru pada 25 Januari, manakala keesokannya (Khamis)  di Masjid Ar Rayyan di sini bermula jam 9 pagi hingga 12 tengah hari bagi kedua-dua lokasi.

Orang ramai yang berminat menderma darah boleh datang ke lokasi berkenaan atau datang sendiri ke pusat Tabung Bank Darah Miri.

Ia beroperasi bermula Isnin hingga Jumaat jam 8.30 pagi hingga 4 petang. Sebarang keterangan lanjut boleh menghubungi Lily di talian 085-416657.

Advertisement