Anda di sini

Skuad kabaddi Sarawak lakar sejarah baharu di peringkat kebangsaan

Advertisement

KUCHING: Skuad kabaddi Sarawak melakar sejarah baharu di peringkat kebangsaan dengan berjaya melangkah ke separuh akhir Kejohanan Terbuka MMU yang berlangsung di Melaka minggu lepas.

Presiden Persatuan Kabaddi Sarawak (SKA) Ramachandran Ramasamy berkata kejayaan yang dicapai atlet negeri itu sangat membanggakan kerana sukan itu baharu diperkenalkan sejak empat tahun lalu.

“Mereka berjaya menangani lawan yang jauh lebih berpengalaman. Kita amat bangga dengan pencapaian tersebut,” katanya.

Sarawak diletakkan dalam Kumpulan B bersama Sri Devi dan pasukan Johor.

Mereka melangkah ke pusingan seterusnya setelah berada di kedudukan kedua peringkat kumpulan dengan menwaskan Johor 55-33 dan tewas 33-13 di tangan Sri Devi.

Sarawak kemudiannya menundukkan Klang 49-7 untuk melangkah ke separuh akhir sebelum tewas di tangan Bukit Pelandok dari Negeri Sembilan 45-27 dalam separuh akhir.

Bukit Pelandok adalah juara bagi musim lalu.

Jurulatih Ganisan Punisamy berkata, pencapaian Sarawak pada kejohanan itu menggambarkan sukan kabaddi berpotensi untuk berkembang di sini.

“Pemain berjaya menunjukkan kepada pasukan lain bahawa Sarawak bakal menjadi kuasa baharu dalam kabaddi meskipun sukan ini masih baharu bagi kita,” katanya.

Katanya, persatuan hanya menyenaraikan empat bekas pemain SUKMA dan selebihnya adalah muka baharu yang tidak mempunyai sebarang pengalaman di peringkat kebangsaan.

Beliau turut merakamkan penghargaan terhadap Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS) dan penaja Kasumi Sports yang sudi memberikan sokongan.

Advertisement