Anda di sini

Serangan belum mantap: Alberts

Advertisement

SAINGAN SENGIT: Penyerang Sarawak Milorad Janjus disekat oleh pertahanan Pulau Pinang pada perlawanan pusingan pertama Piala FA di Stadium Negeri kelmarin.

GOL!: Alireza meraikan jaringan pertama pada aksi pusingan pertama Piala FA menentang Pulau Pinang di Stadium Negeri kelmarin.

Ketua jurulatih Sarawak itu kecewa dengan tahap pemainan penyerang meskipun layak ke pusingan kedua

KUCHING: Sarawak terpaksa mengerah keringat sebelum berjaya melangkah ke pusingan kedua Piala FA setelah menewaskan wakil Liga Perdana Pulau Pinang 2-1 di Stadium Negeri kelmarin.

Pertahanan import dari Hungary Gabor Gyepes muncul penyelamat Ngap Sayot dengan menjaringkan gol kemenangan dalam masa tambahan (99) setelah kedua-dua pasukan terikat 1-1 dalam tempoh perlawanan sebenar.

Gabor memberanikan diri mengelecek dua pertahanan lawan sebelum merembat kencang untuk menewaskan G Jeevanathan.

Sarawak yang mendapat tonik daripada lebih 15,000 penyokong mengasak kubu Pulau Pinang sebaik perlawanan bermula.

Namun, jaringan yang dicari hanya muncul pada babak kedua menerusi jaringan Alireza Abbasfard pada minit ke-76.

Penyerang yang dibawa masuk menggantikan Akmal Rizal itu mudah menolak bola ke gawang lawan setelah Jeevanathan gagal menampan kemas hantaran Hairol Mokhtar.

Pulau Pinang yang diketuai bekas penyerang Sarawak Azizan Baba enggan menyerah meskipun terpaksa berjuang dengan 10 pemain setelah Hariri Mohd Safii dibuang padang akibat mengasari Joseph Kalang Tie pada minit ke-63.

Pada minit ke-90, pemain gantian Mohd Baser Mahamad Napae menanduk gol penyamaan hasil sepakan percuma Mohamad Zharif Hasna bagi mengheret perlawanan ke masa tambahan.

Sarawak bagaimanapun lebih berhak ke pusingan seterusnya selepas Gabor muncul wira dengan jaringan pada minit ke-99.

Meskipun gembira dengan kejayaan melangkah ke pusingan seterusnya, Ketua Jurulatih Robert Alberts meluahkan rasa kecewa dengan barisan penyerangnya yang tidak bermain pada tahap sebenar.

“Kita sepatutnya menamatkan perlawanan ini dalam tempoh 90 minit. Namun, ketumpulan jentera serangan banyak mensia- siakan peluang tercipta,” katanya ketika mengulas perlawanan tersebut kelmarin.

“Mereka juga gagal mengawal bola dengan baik dan agak perlahan ketika merangka serangan.”

Alberts bagaimanapun tetap gembira dengan komitmen ditunjukkan pemainnya dan berharap mereka akan meningkatkan mutu permainan bagi menghadapi saingan seterusnya.

Pada pusingan kedua yang akan berlangsung pada 4 Februari depan Sarawak akan berdepan Selangor yang telah menundukkan Harimau Muda C 2-0 di Stadium MBPJ semalam.

Advertisement