Anda di sini

Sarawak paling banyak terima ambulans

Advertisement

KEMAS: Selamat diiringi oleh Mat Zin untuk memeriksa perbarisan ketika ketibaan beliau ke program penyerahan kunci ambulans sempena Majlis Perhimpunan JPAM Sarawak di Pusat Penerangan Islam, semalam.

JPAM Sarawak dapat suntikan positif menerusi penerimaan tujuh unit ambulans baharu

KUCHING: Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Sarawak mendapat suntikan positif bagi me-nguatkan operasi perkhidmatan kecemasan di negeri ini menerusi penerimaan tujuh unit ambulans yang baharu.

Timbalan Ketua Pengarah Operasi JPAM Selamat Dahalan berkata, Sarawak adalah yang pertama dan terbanyak menerima ambulans berbanding negeri lain, sekali gus membuktikan keutamaan diberi kepada negeri ini.

“Tujuh daripada 45 ambulans baharu JPAM adalah untuk Sarawak manakala selebihnya untuk dibahagikan oleh negeri-negeri lain.

“Bagi kumpulan seterusnya, sebanyak 45 ambulans lagi akan diagihkan dan jika ada lebih, maka kami akan tambah lagi kepada Sarawak,” katanya ketika berucap menyempurnakan Majlis Perhimpunan JPAM Sarawak di Pusat Penerangan Islam di sini, semalam.

Hadir sama, Pengarah Pertahanan Awam Negeri Mat Zin Bujang.

Pengagihan ambulans baharu itu membabitkan Betong, Petra Jaya, Sri Aman, Kuching, Limbang, Mukah dan Kota Samarahan.

Di samping itu katanya, JPAM akan memperluaskan perkhidmatan kecemasan 999 ke empat kawasan lain seperti Kota Samarahan, Betong, Limbang dan Mukah.

Bagaimanapun, atas keka-ngan bajet pada 2014, jumlah anggota di setiap tempat adalah minimum.

Setakat ini, perkhidmatan tersebut hanya boleh didapati di Petra Jaya, Kuching, Sri Aman, Sibu, Bintulu dan Miri.

Selamat turut memberitahu, tahun ini JPAM akan memfokuskan kualiti dan memantapkan prestasi anggotanya.

Katanya sebanyak 10 peratus daripada 200,000 yang direkrut akan dipastikan tamat latihan asas.

Daripada jumlah itu, sebanyak 30 peratus akan menerima latihan lanjutan bagi memastikan mereka berkelayakan menjalankan tugas manakala sebahagian kecil lagi akan menjadi jurulatih serta anggota sokongan seperti di bahagian pentadbiran dan pemandu.

Selamat turut menyeru agar JPAM negeri kekal dalam keadaan siap siaga bagi menghadapi bencana banjir di seluruh negeri.

“Dalam keadaan cuaca tidak menentu ini, kita minta semua anggota untuk sentiasa peka dan sedia menunggu di tempat berisiko banjir.

“Kita mesti tunggu banjir, jangan tunggu sehingga penduduk kampung panggil baharu bergerak,” katanya.

Sejak pusat kawalan operasi JPAM dibuka pada 28 Disember lalu, sebanyak 32 aset terdiri daripada pacuan empat roda, ambulans, lori tiga tan, bot dan van digunakan.

Jumlah anggota terlibat pula adalah seramai 90 orang terdiri daripada anggota dan pegawai JPAM, yang bekerjasama dengan pelbagai agensi lain seperti polis dan bomba.

Majlis turut menyaksikan lapan anggota menerima kenaikan pangkat kepada pegawai sukarela selepas tujuh tahun tidak diadakan kenaikan tersebut.

Mereka ialah Shamsulbahri Izeni dan Faizul di Kuching, Roslan Mostapha dan Mohd Jamalie Kadir masing-masing Sibu, Sham Ali (Sarikei), Kasuma Jamaluddin (Miri) dan Abu Bakar Serah (Sri Aman).

Advertisement