Anda di sini

Polis kerjasama dengan SKMM siasat gambar CCTV

Advertisement

KOTA KINABALU: Polis akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi mengesan individu yang dikenal pasti menyebar gambar rakaman kamera litar tertutup (CCTV) palsu berhubung kes pecah cermin premis yang didakwa berlaku di sini baru-baru ini.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib berkata, kertas siasatan kini telah dibuka bagi mengesan individu terbabit selepas tindakan menyebar gambar CCTV berkenaan yang dikenalpasti bukan merujuk kepada kes itu.

“Setakat ini, polis masih menyiasat perkara terbabit dan kita akan bekerjasama dengan pihak SKMM bagi mengenalpasti individu terlibat.

“Saya sendiri sudah mengarahkan Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu untuk membuka kertas siasatan dan kita berharap selepas ini orang ramai tidak terburu-buru menyebarkan sesuatu maklumat tanpa bukti sahih atau berhadapan dengan tindakan,” katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan kes 46 premis di sekitar Kota Kinabalu dan Penampang pada awal Januari lepas, Hamza berkata pihaknya masih melakukan siasatan dari segenap aspek.

“Kita masih siasat sama ada perbuatan khianat ini berunsur gangsterisme, vandalisme atau sebagainya,” katanya.

Isnin lepas, Hamza dalam satu sidang media mendedahkan polis berjaya menahan lima lelaki berumur lingkungan 30an bagi membantu siasatan dan merampas selaras senapang angin berhubung kes terbabit.

Bagaimanapun, dua daripada suspek sudah dibebaskan sementara tiga masih direman berikutan kes yang memeranjatkan ramai pihak pada 10 Januari lepas itu.

Kes berkenaan kini disiasat mengikut Seksyen 32 (2) Akta Senjata Api 1960.

Advertisement