Anda di sini

Penduduk bergantung kepada air hujan, air parit

Advertisement

TIADA PILIHAN: Kelihatan seorang penduduk Kampung Nanga Besar mengambil air hujan sebagai sumber air minuman.

Penduduk Kpg Nanga Besar terputus bekalan air berikutan kewujudan ladang sejak lima tahun lepas

DARO: Penduduk Kampung Nanga Besar di sini terpaksa bergantung sepenuhnya kepada air hujan dan air parit berikutan bekalan air tidak sampai ke kampung tersebut sejak lima tahun lepas.

Tinjauan Utusan Borneo ke kampung tersebut menyelami sendiri kesusahan yang ditanggung penduduk di kawasan tersebut akibat tiada bekalan air paip.

Ketua Kampung Nanga Besar Hassan Kelai, 56, berkata masalah bekalan air yang dihadapi oleh penduduk kampung tersebut sejak beberapa tahun lalu akibat air paip yang tidak sampai dan bekalan air di kampung tersebut memang ada sebelum ini.

Hassan berkata, bekalan air paip terputus selepas wujudnya sebuah ladang yang hanya beberapa kilometer dari perkampungan tersebut iaitu terletak di Tanjung Jol.

“Sejak kewujudan sebuah ladang berdekatan, bekalan air yang dihubungkan dari kawasan Jemoreng terus terputus.

“Sebelum ladang tersebut wujud, bekalan air di kawasan kampung kami ini tidak menghadapi sebarang masalah,” katanya ketika ditemui semalam.

Penduduk kampung, Saebah Demit, 38, pula memberitahu bahawa mereka terpaksa menggunakan sumber air daripada air hujan dan air parit berdekatan.

Saebah berkata, jika musim kemarau mereka terpaksa menggunakan air parit berdekatan sebagai sumber air.

“Keadaan kami penduduk di kampung ini memang susah sejak lima tahun lepas kerana terpaksa menggunakan air hujan dan air parit sebagai sumber air kami.

“Saya secara peribadi merasakan jika tiada air memang susah kerana air amat penting untuk kegunaan harian untuk minum, cuci pakaian dan kegunaan lain,” katanya.

Kebanyakan penduduk di kampung tersebut bekerja sebagai petani dan nelayan untuk menyara kehidupan mereka.

Seorang remaja di kampung tersebut Ahmad Jirin, 21, turut memberitahu bahawa mereka kadang-kadang terpaksa membeli air mineral di pekan Daro untuk diminum dan menggunakan air parit untuk mandi.

“Bagaimanapun, kami tidak dapat membeli air mineral selalu kerana tidak mampu untuk membeli selalu,” katanya.

Justeru, Ahmad berharap agar masalah ketiadaan bekalan air paip di kampungnya dapat diselesaikan.

Difahamkan, bilangan penduduk kampung tersebut seramai lebih 1,000 orang dengan lebih 200 rumah.

Advertisement