Anda di sini

Pelantikan kaunselor PBT tidak harus dijadikan isu

Advertisement

BAU: Pelantikan kaunselor-kaunselor bagi pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri ini tidak seharusnya dijadikan isu.

Perkara itu ditegaskan Menteri Muda Pembangunan Komuniti Datuk Peter Nansian Ngusie, meskipun beliau tidak menafikan ada pihak yang tidak gembira apabila individu yang dicalonkan mereka tidak dipilih bagi jawatan tersebut.

“Perkara ini adalah biasa tetapi kita tidak seharusnya menjadikan ia isu kerana apa yang lebih penting ialah mereka yang dilantik merupakan orang yang betul-betul mahu berkhidmat kepada rakyat di peringkat akar umbi,” katanya.

Beliau menyatakan demikian bagi mengulas mengenai ketidakpuasan hati sesetengah pihak terhadap senarai kaunselor bagi beberapa PBT di negeri ini yang diumumkan kelmarin.

ADUN Tasik Biru itu ditemui pemberita selepas menyampaikan sijil pelantikan semula ketua masyarakat bagi kawasan DUN Tasik Biru di Pejabat Daerah Bau, di sini semalam.

Menurut Nansian, siapa yang dilantik menjadi kaunselor juga bukan merupakan perkara besar yang harus dibangkitkan kerana mereka pastinya akan dinilai sama ada berkhidmat dengan baik atau tidak pada suatu hari nanti.

“Apa yang paling penting ialah individu tersebut harus menyokong sepenuhnya kerajaan.

“Selain itu, mereka juga harus tahu bagaimana untuk membantu menyelaras atau melaksanakan program-program kerajaan bagi manfaat rakyat,” katanya.

Justeru, beliau menambah tiada sesiapa yang harus mempersoalkan apa sahaja keputusan yang telah dibuat oleh kerajaan itu.

Advertisement