Anda di sini

Pelancongan: Johor minat kerjasama dengan Sarawak

Advertisement

Ia untuk mempromosi produk-produk pelancongan yang ada di kedua-dua negeri berkenaan

KUCHING: Kerajaan Negeri Johor berminat menjalinkan kerjasama dengan agensi pelancongan Sarawak untuk mempromosi produk-produk pelancongan yang ada di kedua-dua negeri berkenaan.

Pegawai Perhubungan Awam dan Publisiti Jabatan Pelancongan Negeri Johor (JPNJ) Ahmad Nizam Ahmad berkata Johor dan Sarawak mempunyai banyak persamaan dalam bentuk produk pelancongan terutama ekopelancongan.

“Sarawak dan Johor mempunyai banyak persamaan dalam bentuk produk ekopelancongan.

“Kami mempunyai tiga tapak RAMSAR di Johor iaitu Taman Negara Johor Tanjung Piai, Taman Negara Johor Pulau Kukup dan Tapak RAMSAR Sungai Pulai. Begitu juga dengan Sarawak.

“Di kawasan Iskandar Johor sahaja terdapat lebih 30 inap desa yang memberi penekanan kepada budaya serta cara hidup penduduk setempatnya,” katanya pada sidang media di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, semalam.

Tambahnya, Sarawak juga tidak kurang hebatnya dalam ekopelancongan kerana mempunyai muzium hidup seperti Kampung Budaya Sarawak dan rumah panjang etnik di negeri ini.

Ahmad Nizam percaya kerjasama mempromosikan produk pelancongan di kedua- dua negeri itu dapat merancakkan lagi sektor pelancongan domestik memandangkan hubungan udara bukan lagi menjadi masalah ketika ini.

Pada masa sama katanya, ia dapat meningkatkan jumlah pelancong dari Johor datang ke Sarawak sempena Tahun Melawat Sarawak 2014 dan sebaliknya.

“Oleh itu kami mempelawa rakyat Sarawak datang ke Johor, lebih-lebih pada Februari depan kerana kami akan menganjurkan Pesta Layang- Layang Sedunia Pasir Gudang Ke-19 pada 19 hingga 23 Februari nanti.

“Selain itu, pelancong dari Sarawak boleh mengunjungi destinasi pelancongan sedia ada dan baharu di Johor seperti Legoland Malaysia Resort dan Hello Kitty yang berkonsepkan pelancongan keluarga,” jelasnya.

Advertisement