Anda di sini

Myanmar mahu contohi kejayaan Sarawak sebagai hos ATF 2014

Advertisement

BERPOTENSI: Swe (kiri) ketika mengetuai sesi soal jawab pada pembentangan bersama Ahli Negara ASEAN di BCCK, semalam.

KUCHING: Kejayaan Sarawak sebagai hos pada Forum Pelancongan ASEAN (ATF) 2014 menjadi contoh terbaik bagi Myanmar yang turut akan menghoskan forum itu pada sesi 2015.

Timbalan Pengerusi Persekutuan Pelancongan Myanmar Maung Maung Swe berkata, pihaknya melihat penganjuran ATF di beberapa negara sebelum ini sebagai contoh sebelum menghoskan ATF pada tahun depan.

“Sarawak telah menunjukkan contoh yang baik sekali dalam memegang peranan sebagai hos ATF pada kali ini.

“Justeru, kami (Myanmar) akan menjadikannya sebagai model untuk penganjuran ATF 2015 di negara kami dan berjanji akan memberikan perkhidmatan yang lebih baik daripada ini,” katanya.

Pada masa sama, beliau melahirkan keyakinan untuk mewakili Myanmar yang diberi mandat untuk menjadi hos ATF pada 2015.

Myanmar mula dikenali sebagai destinasi pelancongan sejak lebih 20 tahun lalu dan mempunyai infrastruktur yang mencukupi untuk menjadi hos ATF 2015 sekali gus membuka peluang percutian di sana, ujarnya.

“Pengalaman sebagai tuan rumah pada Sea Games yang lepas cukup menjadikan kami sebuah negara yang bersedia untuk menjadi hos ATF 2015.

“Saya percaya, meskipun baharu diikitiraf sebagai negara membangun, infrastruktur yang ada di Myanmar mampu menarik minat ramai pelancong luar untuk datang dan menikmati percutian di sana,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas sesi pembentangan bersama Ahli Negara ASEAN di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), di sini semalam.

Menurutnya, Myanmar juga mempunyai produkproduk pelancongan yang setanding dengan negara lain merangkumi tempat suci Buddha, ekopelancongan, bangunan bersejarah serta perayaan yang pelbagai oleh masyarakat Buddha di sana.

Sejajar dengan penganjuran ATF 2015 di Myanmar, Swe menyifatkan ia sebagai langkah proaktif untuk menambah populasi pelancong yang datang ke Myanmar menjelang 2015.

“Myanmar masih mengekalkan keasliannya dari segi tempat-tempat bersejarah yang boleh dilawati.

“Justeru melalui ATF 2015, kami menyasarkan penambahan kepada jumlah pelancong yang datang dan bukan itu sahaja, Cable News Network (CNN) telah mengumumkan Myanmar sebagai negara pertama yang wajib dilawati,” katanya.

ATF 2015 dijadualkan akan diadakan di ibu negara Myanmar yang baharu iaitu di bandar Nay Pyi Taw.

Advertisement