Anda di sini

Kecurian cincin berlian RM5.2 juta dilakukan sindiket terancang: Polis

Advertisement

KUALA LUMPUR: Polis percaya kes kecurian sebentuk cincin berlian bernilai RM5.2 juta di sebuah pusat membeli-belah di ibu negara Khamis lepas, dilakukan sindiket terancang.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur ACP Khairi Ahrasa berkata pihaknya yakin jenayah terancang itu melibatkan warganegara asing berasaskan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di premis berkenaan pada hari tersebut.

“Kita akan bekerjasama dengan pihak Interpol (Polis Antarabangsa) menyiasat sama ada kes terbabit merupakan sindiket jenayah terancang antarabangsa.

“Selain itu, kita juga meminta bantuan pihak Imigresen untuk mengesan suspek di semua pintu keluar masuk negara terutama di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan juga mana-mana lapangan terbang di negara ini,” katanya dalam sidang media selepas majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kontinjen Kuala Lumpur di Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur, di sini semalam.

Mengenai status warganegara penjenayah itu, Khairi berkata pihaknya belum mengenal pasti status mereka namun dipercayai warga China.

Khairi berkata sejurus kejadian itu berlaku pihaknya telah mengambil langkah mengesan kesemua suspek yang dipercayai masih berada dalam negara.

Antara usaha itu ialah mendapatkan bantuan Persatuan Hotel-Hotel Malaysia untuk memeriksa sama ada mereka pernah menginap di hotel, mendapatkan khidmat bantuan polis dari negara jiran khususnya Singapura untuk menjejaki mereka serta menghubungi syarikat barang kemas, Garrard di United Kingdom bagi memperolehi pengesahan kapasiti berat cincin berlian tersebut.

“Sehingga kini, polis belum membuat sebarang tangkapan berhubung kes itu dan kes disiasat bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan iaitu mencuri dalam bangunan,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang itu, dua wanita dan seorang kanak-kanak dilaporkan memasuki kedai barang kemas eksklusif di pusat beli-belah di Bukit Bintang.

Budak perempuan berusia lingkungan lapan hingga 10 tahun kemudian dipercayai menyelinap untuk mengambil kunci tempat cincin itu dipamerkan sebelum mencuribarang berharga itu dan meletakkan semula kunci berkenaan di tempat asal. — Bernama

Advertisement