Anda di sini

Jom meriahkan Larian Amal Colour Rush

Advertisement

kebangsaanJOM BERAMAL: Jacqueline (lapan kiri) dan Pengerusi OurYouth.my Dato Patrick Liew (tengah) bersama Pengurus Lonpac Insurance Berhad Wilayah Sarawak Wong Shon Kwang, kumpulan kugiran dan peniaga pada sidang media semalam.

KUCHING: Lebih 1,000 penyertaan telah diterima bagi aktiviti Larian Amal Colour Rush ke-2 yang akan diadakan di Le’ Park, Dewan Suarah Kuching pada 15 Februari depan.

Pengerusi penganjur Jacqueline Chin berkata penyertaan dijangka meningkat dan beliau yakin sasaran 2,000 peserta berjaya dicapai.

“Pada tahun lepas, seramai 1,200 peserta mengambil bahagian dan kita berharap kali ini lebih ramai yang turut serta,” katanya semasa sidang media semalam.

Colour Rush merupakan aktiviti amal yang pertama kalinya diperkenalkan di Sarawak.

Bagi menjadikannya lebih menarik, setiap pelari akan diwarnakan dengan serbuk pewarna sebelum memulakan larian sejauh 5km.

Ia dianjurkan oleh Pusat Kanser Kanak-Kanak Sarawak (SCCS) dan OurYouth.my bagi menimbul kesedaran di kalangan masyarakat terhadap kanak-kanak yang menderita akibat penyakit tersebut selain memperingati Hari Kanser Kanak-Kanak Antarabangsa pada 15 Februari 2014.

Menurut Jacqueline yang juga penolong pengurus acara dan pemasaran korporat SCCS, larian kali ini agak berlainan di mana peserta yang mengambil bahagian akan bersarapan di Le’ Park sebaik menamatkan larian.

“Kita melahirkan rasa gembira kerana Georg Peck, Gourmet Sausage, Iglool, De Jackie Inspirations, Buddy Gadgets, Flinders, Kim Bay dan Mita bersetuju menjadi sebahagian dari aktiviti ini yang dinamakan ‘Breakfast @ Le’Park’.

“Ia akan memudahkan peserta larian membeli dan bersarapan sambil mendengar hiburan,” katanya.

Iglool juga bersetuju menderma RM1 kepada tabung amal bagi setiap ‘snow ice’ yang dijual.

Jacqueline turut mempelawa peniaga untuk menghubungi beliau bagi memeriahkan lagi aktiviti pada hari itu nanti.

Para peserta turut dihiburkan kumpulan kugiran Akoustik Connexion, Soul Dance, SoundArt dan CQ Music yang dibawa khas oleh penganjur.

Menurut Jacqueline lagi, Larian Amal Colour Rush ke-2 juga akan diadakan di Dewan Suarah Miri pada 23 Februari bagi meningkatkan kesedaran terhadap masyarakat di sana.

Ia terbuka kepada semua dengan yuran pendaftaran sebanyak RM35 dikenakan terhadap setiap peserta.

Pendaftaran juga boleh dilakukan secara atas talian dengan melayari laman web www.colourrushrun.com.

Selain itu, peserta juga boleh mendaftar di kaunter Pusat Gimnasium Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS) dari Isnin hingga Sabtu.

Manakala bagi larian di Miri, borang pendaftaran boleh didapati di Somerset Hotel dari Isnin hingga Sabtu.

Untuk pertanyaan lanjut, hubungi Jacqueline di talian 012-8072228 atau emel ke [email protected].

Advertisement