Anda di sini

Jangan politik usaha ringankan beban rakyat

Advertisement

SERAH BAP1M: Sharifah Hasidah (tengah) merakam kenangan bersama pelajar SMK Demak Baru selepas Majlis Penyerahan BAP1M di SMK Demak Baru, Kuching, semalam.

Apa sahaja bantuan harus guna sebaik mungkin, jadikan kekuatan untuk kehidupan

KUCHING: Rakyat diingatkan agar tidak mempolitik atau memutarbelitkan usaha baik kerajaan terutama dalam menghulur bantuan dan dana bagi meringankan beban mereka.

Setiausaha Politik Ketua Menteri Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali berkata, apa sahaja bantuan serta sumbangan daripada kerajaan seharusnya digunakan sebaik mungkin serta dijadikan kekuatan untuk meneruskan kehidupan seharian.

“Bantuan Awal Persekolahan 1Malaysia (BAP1M) merupakan usaha kerajaan untuk meringankan beban rakyat terutama bagi ibu bapa yang harus membelanjakan wang ke arah pendidikan anak-anak.

“Meskipun wang itu tidak berapa banyak (RM100), namun ia diharap dapat membantu sedikit sebanyak meringankan beban ibu bapa yang masih mempunyai anak-anak di peringkat sekolah,” katanya.

Tambahnya, usaha tersebut merupakan usaha murni serta keprihatinan kerajaan dalam menghulurkan bantuan kepada rakyat yang memerlukan.

Sokongan serta kerjasama ibu bapa juga diharap sejajar dengan matlamat kerajaan untuk membantu ibu bapa menyelesaikan masalah yang dihadapi anak-anak, ujarnya.

“Keadaan ekonomi negara pada masa kini tidaklah begitu kukuh, namun kerajaan tetap melanjutkan pemberian BAP1M dan Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) untuk menunjukkan keprihatinan kepada rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Majlis Penyerahan BAP1M kepada pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Demak Baru di sini, semalam.

Seramai 1,078 pelajar SMK Demak Baru menerima BR1M merangkumi pelajar tingkatan satu hingga lima serta pelajar-pelajar Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) tahap satu hingga lapan.

Advertisement