Anda di sini

DBKU, JKR akan naik taraf, baik pulih prasarana diadukan penduduk

Advertisement

KERAJAAN PRIHATIN:Daud (tiga kiri) bersama pengadu, Abdul Taib (dua kiri) melihat jalan susur ke kediaman ibu bapa Abdul Taib dan jalan berturap yang akan siap dalam tempoh tiga bulan lagi.

KUCHING:Menteri Muda Pembangunan Infrastruktur Datuk Daud Abdul Rahman berkata pihak Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) akan berusaha melaksanakan kerja menaik taraf dan baik pulih prasarana di sekitar Batu 2 1/2 Jalan Matang.

Katanya masalah yang diadu oleh penduduk sekitar Batu 2 1/2, Jalan Matang di sini menjadi tumpuan beliau walaupun ia hanya pembesaran longkang atau parit, naik taraf jalan sempit dan sebagainya.

“Kalau kita tidak hadir, masalah-masalah kecil seperti ini walaupun nampak kecil tetapi nampak besar kepada para penduduk dan amat penting buat penduduk kampung.

“Kalau kita tidak buat, mereka akan rasa tidak dipedulikan sebab itu kita mesti buat ini.

“Dan selepas ini kita akan pergi ke tempat-tempat lain untuk melihat dan pastikan semua projek dan masalah biar sekecil manapun adalah kewajipan kita untuk menyelesaikannya,” katanya ketika mengadakan lawatan kerja ke lapan lokasi berlainan di kawasan itu kelmarin.

Beliau yang juga Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam) berkata, pihaknya sebelum ini telah mengadakan sesi berdialog bersama penduduk di kawasan berkenaan selepas berjemaah.

Beliau semalam kelihatan ditemani para pegawai kanan DBKU, JKR dan KSU bagi meninjau masalah di kawasan terbabit.

Jelasnya, tidak dinafikan bahawa kemungkinan terdapat masalah kewangan yang merupakan antara faktor mengapa kerja-kerja baik pulih itu ditangguh.

Bagaimanapun, terdapat beberapa peruntukan kecil kerajaan yang boleh digunakan untuk membaiki jalanjalan kecil atau membuat longkang, ujarnya.

Sementara itu, pengadu bernama Abdul Taib Mohd, 44, yang ditemui di rumahnya di Jalan Bunga Merak, Batu 2 1/2 Matang berharap agar jalan susur ke kediaman ibu bapanya dibaiki.

Pihaknya telah memohon untuk dibaiki jalan susur ke rumah itu pada awal tahun 2010 lagi.

“Saya telah memohon sejak awal 2010, saya tidak meminta untuk diturap cuma agar ia tidak begitu berlumpur pada waktu landas (musim tengkujuh).

“Kalau DBKU buat parit… alhamdulilah. Kami cuma hendak naik taraf sikit sahaja kerana orang tua yang mendiami rumah itu. Kalau orang macam kami yang tinggal tidak mengapa,” kata Abdul Taib semalam.

Advertisement