Anda di sini

AirAsia terima dua anugerah pada Anugerah Kecemerlangan ASEANTA

Advertisement

BANGGA: (Dari kiri) Lee, Ketua Komersial Air Asia Berhad Kenny Wong dan Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Berhad Aireen Omar bergambar bersama plak dimenangi.

KUCHING: AirAsia menerima pengiktirafan dari rantau ini di ASEANTA Awards for Excellence 2013 Ke-27 apabila memenangi dua anugerah berprestij itu.

Adam Lee, wartawan foto AirAsia memenangi Anugerah Foto Pelancongan ASEAN Terbaik dan Bahagian Pemasaran AirAsia memenangi Anugerah Kempen Promosi dan Pemasaran Terbaik ASEAN.

Anugerah Kecemerlangan ASEANTA (Persatuan Pelancongan ASEAN) merupakan satu pengiktirafan kepada individu atau organisasi daripada pelbagai sektor yang telah menyumbang kepada pembangunan industri pelancongan ASEAN dan sejumlah sembilan anugerah dipertandingkan untuk kali ini.

Majlis penyampaian anugerah diadakan di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) sempena Forum Pelancongan ASEAN (ATF) 2014.

Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohammed Nazri Abdul Aziz menyampaikan anugerahanugerah kepada pemenang.

Anugerah Foto Pelancongan Terbaik ASEAN menggambarkan tarikan ASEAN sebagai pusat pelbagai budaya dan gambar-gambar yang dihantar untuk anugerah itu dinilai daripada empat kriteria iaitu tahap keberkesanan, keaslian, persembahan dan kualiti.

Gambar yang telah memenangi hati para juri adalah gambar negeri Melaka, diambil Adam Lee, 33.

Beliau mula berkhidmat sebagai wartawan foto dalaman AirAsia sejak empat tahun lalu dan berkhidmat terutama bagi majalah dalam pesawat, Travel3sixty.

Hasil karya beliau boleh dilihat di laman www.airasia.com/travel3sixty.

Sementara itu, kempen Air- Asia ‘Celebrating 2 Million Facebook Fans with Free Seats’ yang telah berlangsung sepanjang 4 hingga 13 Oktober 2013 setelah mencapai dua juta peminat di Facebook terbukti sebagai kempen paling efektif, kreatif dan inovatif antara penyertaan yang telah diterima oleh para juri.

Kempen pemasaran ini termasuk di sembilan negara – Malaysia, Indonesia, Thailand, Laos, Kemboja, Myanmar, Brunei, Singapura dan Vietnam menerusi platform seperti Facebook, Twitter, laman web AirAsia serta iklan di radio dan surat khabar.

Kejayaan kempen itu telah menyumbang kepada penambahan 26 peratus kepada keuntungan dan lebih 58 peratus tempat duduk terjual dibandingkan dengan kempen-kempen yang lain.

Anugerah itu diberikan kepada individu-individu atau usaha pemasaran bersama daripada pelbagai organisasi pelancongan, dalam mempromosi satu atau lebih negara-negara ASEAN.

Advertisement