Anda di sini

13 jenis barang harga terkawal sempena TBC

Advertisement

Skim kawalan harga berkuat kuasa selama 15 hari bermula 26 Januari hingga 9 Februari: Hasan

PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan menyenaraikan sebanyak 13 barang harga terkawal bagi Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Tahun Baharu Cina yang akan disambut 31 Jan ini.

Menteri berkenaan Datuk Seri Hasan Malek berkata skim berkenaan akan bermula 26 Jan hingga 9 Feb iaitu dalam tempoh berkuat kuasa selama 15 hari berbanding hanya 12 hari sebelum ini.

“Pelaksanaan skim ini dimulakan dengan lebih awal sebagai langkah tambahan oleh kerajaan untuk menyekat kenaikan harga barang keperluan,” katanya semasa mengumumkan Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Tahun Baharu Cina semalam.

Tiga belas barang itu ialah ayam hidup, ayam standard (disembelih dan dibersihkan beserta kaki, kepala, hati, hempedal atau mana-mana bahagian), ayam super (disembelih dan dibersihkan tanpa kaki, kepala, hati dan hempedal), telur ayam gred A, gred B dan gred C.

Barangan lain ialah kubis bulat import (Indonesia dan China tidak termasuk kubis Beijing), bawang putih (China), ikan bawal (berat 200 gram hingga 400 gram seekor), udang putih besar (berat antara 41 ekor hingga 60 ekor sekilogram), babi hidup (dikawal peringkat ladang), daging babi (perut) dan daging babi (daging dan lemak).

Hasan berkata barang seperti bawang putih dan ikan bawal ditentukan lebih rendah bagi Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Tahun Baharu Cina 2014 berbanding musim Tahun Baharu Cina sebelumnya.

“Penurunan harga import dari China dan kedudukan bekalan yang mencukupi membolehkan harga maksimum runcit bawang putih ditetapkan RM5 sekilogram pada tahun ini berbanding RM7 sekilogram pada tahun lalu.

“Ikan bawal putih (berat 200 gram hingga 400 gram seekor) pula harga maksimum runcit adalah pada RM37 sekilogram berbanding RM38 sekilogram pada tahun lalu kerana peningkatan hasil tangkapan di pantai barat,” katanya.

Selain itu, kata Hasan, harga maksimum runcit ayam standard ditetapkan pada RM7.50 sekilogram berbanding RM7.70 sekilogram pada tahun lalu.

Hasan turut menjelaskan harga maksimum bagi semua peringkat adalah dikekalkan bagi tujuh barang lain termasuk telur gred A,B dan C, kubis bulat import (Indonesia dan China tidak termasuk kubis Beijing), babi hidup, daging babi (perut) dan daging babi (daging dan lemak).

Bagaimanapun, jelas Hasan, udang putih besar (berat antara 41 ekor hingga 60 ekor sekilogram) ditentukan lebih tinggi dalam skim itu berikutan kekurangan hasil tangkapan.

Katanya penguatkuasaan skim itu dilaksanakan untuk menyekat kenaikan harga yang tidak munasabah semasa musim perayaan dan antara langkah kerajaan bagi mengurangkan bebanan kos sara hidup rakyat dalam negara.

Beliau turut memberi amaran kepada peniaga bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang gagal mematuhi peraturan di bawah skim ini termasuk denda sehingga RM100,000 dan penjara bagi individu serta denda sehingga RM500,000 bagi syarikat. — Bernama

Advertisement