Anda di sini

Tindakan tegas perlu diambil terhadap pihak persenda titah Agong: Shafie

Advertisement

PUTRAJAYA: Tindakan tegas harus diambil terhadap pihak yang mempersenda titah Yang di-Pertuan Agong yang juga Sultan Kedah Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah mengenai hak eksklusif penggunaan kalimah Allah untuk penganut agama Islam.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata tindakan mengeluarkan kenyataan provokasi dan mempersenda titah Seri Paduka ialah perbuatan yang bercanggah dengan Perlembagaan Malaysia, yang meletakkan Islam sebagai agama rasmi Persekutuan.

“Kita tahu dalam Perlembagaan, Islam merupakan agama Persekutuan dan Seri Paduka berhak mengeluarkan pandangan dan titah berlunaskan perundangan sedia ada,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat Anggota Lembaga Pemegang Amanah Pemuafakatan Badan Ilmiah Nasional (PEMBINA) di sini, semalam.

Mohd Shafie yang juga Naib Presiden UMNO berkata tindakan provokasi demi kepentingan politik itu perlu dihentikan segera.

“Jangan anggap perkara ini ringan kerana Yang di-Pertuan Agong ialah satu institusi berdaulat bagi orang Melayu, apa lagi bila Seri Paduka mengeluarkan titah mengenai agama Islam. Maka, hal ini jangan diperkecilkan oleh mana-mana pihak,”katanya.

Dalam perkembangan lain, Mohd Shafie berkata kementerian dan PEMBINA akan memberi tumpuan kepada menggalakkan lebih ramai belia bumiputera melanjutkan pelajaran dalam bidang akauntan.

Beliau berkata belia bumiputera semakin berkurangan dalam bidang akauntan iaitu hanya sebanyak 8,939 orang sedangkan ia sepatutnya berjumlah 29,690 orang jika berdasarkan komposisi kaum di Malaysia mengikut nisbah etnik Melayu dan Bumiputera.

“Kita sedar jumlahnya tidak begitu besar. Ini antara langkah yang ingin kita pastikan supaya penyertaan mereka dalam bidang ini bukan hanya pada peringkat sarjana muda tetapi lebih kepada peringkat profesional akauntan,”katanya.

Katanya sijil seperti Chartered Professional Accountants dan Association of Chartered Certified Accountants adalah lebih diperlukan dalam pasaran sekarang selain ia mampu menjamin masa depan yang lebih baik.

Justeru, katanya agensi seperti Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) turut giat menggalakkan pelajar bagi melanjutkan pelajaran mereka dalam bidang itu. — Bernama

Advertisement