Anda di sini

‘Sultan Melaka’ dibebas dengan jaminan polis

Advertisement

MELAKA: Ahli perniagaan yang mendakwa dirinya ‘Sultan Melaka’ semalam dibebaskan dengan jaminan polis setelah ditahan pada 14 Jan lepas bagi membantu siasatan mengikut Akta Hasutan berhubung dakwaannya itu.

Timbalan Ketua Polis Melaka Datuk Shah Gzali Khan Shahadat berkata Noor Jan Tuah dibebaskan selepas tahanan reman ke atasnya tamat semalam.

“Kes masih dalam siasatan terutamanya berkenaan dakwaannya mendapat surat pengesahan daripada ICJ (Mahkamah Keadilan Antarabangsa), yang kita perlukan kerjasama daripada Pejabat Peguam Negara untuk pastikan dakwaan itu benar atau tidak.

“Kita akan mohon bon mahkamah bagi memastikan beliau tidak menganjurkan majlis atau aktiviti berkaitan kesultanan sehingga siasatan ini selesai,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, semalam.

Noor Jan, 57, ditahan pada jam 10.50 pagi di Jeti Anjung Batu Umbai, Jasin sebelum sempat menaiki bot ke Pulau Besar untuk melakukan aktiviti bersama-sama ‘pengikutnya’.

Pada Rabu lepas, polis mendapat kebenaran Mahkamah Majistret untuk menahan reman ahli perniagaan itu selama empat hari dan mendapat kebenaran daripada mahkamah sama untuk menyambung reman selama tiga hari lagi pada Sabtu lepas.

Shah Gzali Khan berkata pihak polis boleh memanggil Noor Jan pada bila-bila masa untuk siasatan lanjut.

Surjan Singh Sidhu, yang mewakili Noor Janm berkata anak guamnya dibebaskan tanpa dikenakan apa-apa syarat dan pihaknya akan bekerjasama dengan pihak polis dalam siasatan kes itu.

Terdahulu, Noor Jan yang berbaju merah bercorak kotak, berseluar coklat muda dan memakai topi hitam, dilihat keluar dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka pada jam 12.50 tengah hari dengan menaiki kereta BMW berwarna biru tua selepas menyelesaikan urusan jaminan itu. — Bernama

Advertisement