Anda di sini

Pembinaan jaringan jalan raya di pedalaman akan dibincang

Advertisement

TAKLIMAT: Komander Operasi DSP Wagner Lisa Libut (kiri) menerangkan tempat kejadian kepada Wan Junaidi (kanan) di Daro, semalam.

DARO: Pembinaan jaringan jalan raya di kawasan pedalaman akan dibincangkan dengan Kementerian Kemajuan Luar Bandar untuk mengurangkan kebergantungan masyarakat terhadap pengangkutan air.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, beliau akan membincangkan perkara itu dengan kemen-terian terbabit agar pergera-kan penduduk pedalaman menjadi lebih mudah dan selesa.

“Jika jalan raya dapat dilaksanakan, ia mampu mengurangkan masyarakat di kawasan pedalaman menggunakan jalan air kerana bila musim cuaca tidak menentu, keselamatan mereka kurang terjamin,” katanya ketika membuat lawatan ke pusat operasi pasukan penyelamat di Kampung Saai, Daro semalam.

Wan Junaidi berkata, masyarakat di negeri ini khasnya nelayan harus mengurangkan aktiviti di laut berikutan keadaan yang bergelora serta berbahaya.

Katanya, walaupun mata pencarian pendapatan penduduk kampung bergantung kepada hasil laut, namun mereka sepatutnya mengusahakan inisiatif lain sebagai sumber alternatif.

“Kita mendengar sekarang ini banyak tragedi bot karam yang berlaku sama ada di Semenanjung Malaysia ataupun di Sarawak. Oleh itu, masyarakat terutamanya nelayan di negeri ini perlu mengurangkan aktiviti ke laut kerana cuaca sekarang ini tidak mengizinkan.

“Sehubungan itu, golongan nelayan yang bergantung kepada hasil laut harus mengambil inisiatif lain sebagai sumber pendapatan mereka dan tidak sewajarnya mereka ke laut,” katanya.

Berhubung kejadian bot karam di Batang Lassa di sini, Wan Junaidi memberitahu perairan di kawasan itu memang bergelora dan berbahaya.

Justeru, beliau memuji komitmen yang ditunjukkan oleh agensi-agensi kerajaan terlibat sama ada dari per-sekutuan mahupun negeri kerana menjalankan tugas dengan penuh tanggungjawab.

Beliau turut berterima kasih kepada Pasukan Sukarelawan Rakyat (RELA) yang terdiri daripada penduduk kampung kerana memberi bantuan dalam usaha mencari mangsa yang hilang bersama pasukan penyelamat.

“Walaupun kita sedih terhadap tragedi ini, pada masa yang sama kita melahirkan rasa syukur kerana hampir semua mangsa yang hilang telah dijumpai hasil daripada kerjasama yang baik antara anggota penyelamat,” kata-nya.

Advertisement