Anda di sini

Pemandu teksi diharap tidak caj tinggi kepada pelancong

Advertisement

SIBU: Pemandu teksi di sini diminta tidak mengambil peluang semasa Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2014 dengan mengenakan caj tinggi kepada penumpang khususnya pelancong.

Pengerusi Persatuan Pemilik Teksi Bahagian Sibu Robert Angkah berkata, selain sikap tersebut pemandu teksi disaran supaya bersopan dengan pelanggan mereka.

“Pemandu teksi adalah titik hubungan pertama atau orang pertama yang ditemui pelancong, sebelum mereka sampai ke tempat-tempat yang dilawati.

“Apabila mereka berpuas hati dengan perkhidmatan kita, mereka akan memuji negara kita serta menceritakan kemesraan kita kepada rakan-rakan dan keluarga apabila pulang ke tanah air mereka.

“Sikap mesra dan sopan santun adalah satu tarikan kepada pelancong untuk berkunjung lagi ke negara kita,” katanya pada Majlis Makan Malam sempena Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Persatuan Pemilik Teksi Bahagian Sibu di sini, malam kelmarin.

Majlis itu disempurnakan oleh Ahli Lembaga Pengarah Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan Sarawak (LPKP) Chua Beng Seng.

Hadir sama Presiden Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Sibu (SCCCI) Hu Yu Siong.

Sementara itu, Robert mengingatkan pemandu teksi agar sentiasa menggunakan meter apabila mengenakan harga tambang kepada pelanggan mereka.

“Pemandu teksi perlu mengikut penggunaan jarak meter untuk mengelak daripada aduan pelanggan kepada pihak berkuasa,” tegasnya.

Kepada penumpang, beliau menasihati mereka agar bertanyakan caj tambang daripada pemandu teksi sebelum menaiki teksi.

Robert juga menggesa kerajaan mempertimbang menyediakan bahan api pada kadar subsidi seperti yang ditetapkan pada masa lalu.

Ketika itu, mereka mendapat harga subsidi petrol RM1.80 seliter.

“Ini amat membebankan lebih-lebih lagi dengan harga minyak tinggi berbanding dengan rakan-rakan kami di Semenanjung Malaysia yang mempunyai Stesen Kenderaan Gas Asli (NGV),” katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai menjaga stesen teksi yang baharu siap diubah suai di sepanjang Jalan Wong Nai Siong di sini dengan kos berjumlah RM26,000.

Sehubungan itu, Robert turut menggesa pemandu teksi yang belum menjadi ahli mana-mana persatuan pemilik teksi di sini supaya mendaftar nama mereka secepat mungkin.

Di Sibu, terdapat empat persatuan pemilik teksi iaitu Persatuan Pemilik Teksi Bahagian Sibu, Persatuan Teksi Bumiputera Bersatu Sibu, Persatuan Teksi Bahagian Sibu dan Persatuan Teksi Sibu.

Pada majlis itu, insentif pendidikan turut disampaikan kepada anak-anak ahli persatuan yang cemerlang dalam peperiksaan awam.

Pada AGM itu, Robert mengekalkan jawatannya sebagai pengerusi.

Ahli-ahli jawatankuasa lain ialah Naib Pengerusi Lau Chieng Ping, Setiausaha Gerald Tayok Majer, Setiausaha (English) Heng Sing Hong, Setiausaha (Cina) Wong Kah Teck, Bendahari Ting Ching Ann dan Penolong Bendahari Chieng Sie Chiew.

Advertisement