Anda di sini

PATI yang ditahan haram masuk Malaysia

Advertisement

KUALA LUMPUR: Semua pendatang asing tanpa izin (PATI) yang ditahan dalam Operasi Bersepadu (6P) Fasa 2 di seluruh negara yang bermula tengah malam tadi akan diusir ke negara asal dalam tempoh tujuh hari.

Mengumumkan demikian, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata pengusiran mereka tidak akan ditanggung oleh kerajaan Malaysia.

“Penghantaran mereka akan ditanggung oleh pihak kedutaaan dan majikan masing-masing,” katanya kepada pemberita di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) di sini semalam.

Ahmad Zahid berkata PATI yang ditahan akan disenarai hitam dengan identiti mereka direkodkan dalam sistem bank data biometrik bagi memastikan mereka tidak kembali ke negara ini.

Beliau berkata seramai 1,565 PATI  ditahan dalam 107 operasi di seluruh negara melibatkan 695 rakyat Indonesia, 255 Bangladesh, 157 Myanmar dan selebihnya rakyat Kemboja, Vietnam, India, Pakistan, Filipina, China, Nigeria dan Thailand.

Beliau berkata kesemua mereka ditahan kerana tiada dokumen perjalanan yang sah dan permit kerja mengikut Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan Akta Anti-pemerdagangan Orang dan Anti-penyeludupan Migran 2007 (Pindaan 2010) (ATIP SOM).

“Operasi Bersepadu Fasa 2 bersama agensi-agensi berkaitan akan dilaksanakan secara berterusan sehingga hujung tahun untuk mengesan, menangkap, mendakwa dan mengusir warga negara asing,” katanya.

Beliau berkata operasi itu melibatkan 2,015 anggota penguatkuasa pelbagai agensi termasuk Jabatan Imigresen, Rela, Polis, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Jabatan Pendaftaran Negara dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). — Bernama

Advertisement