Anda di sini

Beraksi di DGCC mengagumkan

Advertisement

KAGUM: Mawan (berdiri tengah) bersama pemain-pemain golf negara-negara asing sebelum ‘tee off’ pertandingan golf persahabatan sempena Forum Pelancongan ASEAN di Kuching, semalam.

Menteri-menteri pelancongan ASEAN bersaing dalam golf persahabatan sempena ATF

KUCHING: Sempena Forum Pelancongan ASEAN (ATF) yang sedang berlangsung di sini, Damai Golf and Country Club (DGCC) menganjurkan Pertandingan Golf Persahabatan Menteri-Menteri Pelancongan ASEAN semalam.

Menteri Pembangunan Sosial Tan Sri William Mawan menjadi hos bagi pelawat asing yang turut diiringi Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan Sarawak, Datu Ik Pahon Joyik dan Pengarah Pelancongan Malaysia, Datuk Abdul Khani Daud.

Pemain-pemain golf dari negara-negara asing berasa kagum dengan keadaan padang golf (DGCC) yang sempurna dan melahirkan harapan untuk sekali lagi bermain di sini pada masa akan datang.

Sementara itu, Pengurus Besar DGCC Zulkifli Othman berkata kelab tersebut akan menjadi tuan rumah bagi beberapa kejohanan besar sepanjang tahun ini.

Antaranya ialah Kejohanan Golf Mercedes Benz Malaysia (MBM) bagi merebut Piala Mercedes pada 23 April dan Kejohanan Piala BMW Golf pada 26 Jun depan.

“Ini adalah kali pertama kedua-dua acara berprestij tersebut diadakan di sini dan kami berasa bangga kerana DGCC dipilih sebagai tuan rumah,” kata beliau.

Menurutnya, DGCC juga menjadi tuan rumah Kejohanan Golf Amatur Terbuka Sarawak 2014 yang akan berlangsung pada 25 hingga 27 April depan.

“Selain itu, kita juga akan menjadi tuan rumah Kejohanan Golf Amatur Terbuka Malaysia 2014 pada 22 hingga 25 Mei nanti di mana pemain golf dari seluruh negara akan bersaing,” katanya.

DGCC juga melahirkan berbangga setelah ditabalkan selaku hos Kejohanan Golf Antara Pasukan Amatur Dunia (WAITGC) pada 27 dan 28 Ogos nanti dan ramai pemain antarabangsa akan menyertainya.

Pemain-pemain golf veteran dari seluruh negara juga akan datang ke DGCC untuk menyertai Pertandingan Golf Veteran Malaysia yang akan diadakan pada 21 September nanti.

Advertisement