Anda di sini

30 kes penipuan simpanan KWSP dilapor tahun lepas

Advertisement

10 pencarum bersalah, bakinya dalam tindakan mahkamah

KUALA LUMPUR: Sebanyak 30 saman mahkamah difailkan terhadap pencarum yang terlibat dalam kes penipuan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sepanjang tahun lepas.

Pengurus Besar Perhubungan Awam KWSP Nik Affendi Jaafar berkata daripada jumlah itu, 10 pencarum didapati bersalah manakala bakinya masih dalam tindakan mahkamah.

“KWSP mempunyai sistem komprehensif, berupaya mengesan pencarum yang terlibat dalam penipuan pengeluaran walaupun selepas simpanan itu berjaya dikeluarkan,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Mengulas dua kes penipuan terbaharu berkaitan pengeluaran perumahan antara Oktober dan Disember tahun lepas, Nik Affendi berkata kedua-dua pencarum itu telah dikenakan tindakan kerana menyalahi Seksyen 59, Akta KWSP 1991.

Katanya pencarum yang didapati bersalah, tetapi dapat mengembalikan wang yang telah dikeluarkan dalam tempoh enam bulan dari tarikh sabitan, dibenar membuat pengeluaran sama selepas dua tahun dari tarikh wang itu dikembalikan.

Nik Affendi berkata bagi pencarum yang gagal memulangkan wang berkenaan, akan kehilangan hak bagi membuat pengeluaran yang sama selama-lamanya.

Beliau turut mengingatkan pencarum KWSP agar tidak menggunakan khidmat pihak ketiga yang menawarkan untuk membantu mengeluarkan simpanan mereka bagi mengelak sebarang penipuan.

Orang ramai boleh melaporkan sebarang kegiatan atau cubaan penipuan dengan menghubungi Talian Hotline Anti-Fraud KWSP di 03-2616 2121 pada waktu pejabat. — Bernama

Advertisement