Anda di sini

UPP berkas 20 PATI di perhentian bas

BUKIT KAYU HITAM: Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) Kedah menahah 20 pendatang asing tanpa izin (PATI) di perhentian bas Changlun dekat sini kira-kira jam 6.30 pagi semalam.

Komandernya Abdul Latif Abdul Rahman berkata mereka ialah 12 PATI lelaki warga Mnyanmar, tiga lelaki (Indonesia) serta seorang lelaki dan empat wanita (Kemboja) berumur antara 19 hingga 44 tahun yang dipercayai hendak keluar dari negara ini.

Katanya PATI tersebut yang bekerja di ibu negara dipercayai sedang menunggu bas bagi membawa mereka ke sempadan di Bukit Kayu Hitam untuk pulang ke negara asal.

“Selepas memeriksa didapati dua PATI warga Indonesia dan dua Kemboja memiliki pas lawatan tamat tempoh sementara PATI lain tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah,” kata Abdul Latif kepada pemberita di pejabat UPP Bukit Kayu Hitam, di sini.

Menurutnya semua pati tersebut ditahan dan disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002).

Dalam perkembangan lain UPP menahan dua lelaki tempatan berumur 44 dan 59 tahun yang cuba menyeludup masuk minuman keras serta pelbagai mercun dan bunga api dari negara jiran bernilai lebih RM11,400 dalam dua kes berasingan. — Bernama