Anda di sini

Tiga suspek kes pecah rumah, bunuh pelajar direman lanjut

Advertisement

MIRI: Tiga daripada 10 orang suspek yang ditangkap kerana disyaki melakukan pecah rumah dan curi serta membunuh seorang pelajar Universiti Curtin Sarawak diperintahkan Mahkamah Majistret, di sini semalam supaya direman lanjut tujuh hari untuk membantu siasatan lanjut polis.

Ketiga-tiga suspek termasuk seorang gadis berusia 16 tahun diperintahkan supaya menjalani reman lanjut itu di lokap Balai Polis Pusat Miri.

Perintah itu dikeluarkan Majistret Lovely Natasha Charles setelah membenarkan permohonan yang dikemukakan pegawai penyiasat ASP Zainan Azili Abdul Latiff mengikut peruntukan Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.

Dalam permohonannya, Zainan memberitahu bahawa hasil siasatan awal polis mendapati hanya empat suspek termasuk seorang lagi yang masih bebas terlibat dalam kes berkenaan.

Justeru, beliau memohon agar ketiga-tiga suspek terbabit yang berusia 23, 22 dan 16 tahun direman lanjut tujuh hari lagi untuk membantu siasatan polis.

Beliau turut memohon agar tujuh suspek lain dibebaskan dengan lima daripada mereka akan dipanggil sebagai saksi polis.

Terdahulu, kesemua 10 suspek termasuk seorang lelaki warga Bangladesh telah direman enam hari bermula 14 Januari lalu sehingga semalam untuk membantu siasatan lanjut polis berhubung kes berkenaan.

Kesemua suspek telah ditangkap dalam satu siri operasi di beberapa rumah di Tudan dan Taman Tunku pada 13 Januari lalu oleh sepasukan polis yang terdiri daripada anggota daripada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Miri dan D9 (Cawangan Jenayah Berat) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak.

Sementara itu dalam kejadian 4 Januari lalu, mangsa yang dikenali sebagai Mu Tshun Vui, 19, yang berasal dari Sandakan, Sabah ditemui terbaring dalam keadaan tidak sedarkan diri dan berlumuran darah di tepi tangga di tingkat bawah rumah sewanya di Desa Senadin di sini.

Kejadian itu hanya disedari seorang rakan serumah sekitar jam 1.30 petang, 4 Januari lalu yang baharu sampai dari kampung.

Semasa kejadian, mangsa yang merupakan pentuntut tahun kedua di universtiti tersebut tinggal berseorangan serta baharu sahaja pulang bercuti dari kampung sempena cuti semester.

Siasatan awal polis mendapati mangsa dipercayai dipukul menggunakan objek keras yang terdapat di tempat kejadian.

Advertisement