Anda di sini

Tiga rumah musnah, 30 penyewa hilang tempat tinggal di Johor Baharu

Advertisement

MUSNAH: Anggota Bomba dan Penyelamat Johor Baharu berjaya memadamkan api yang memusnahkan tiga buah rumah yang menempatkan 30 bilik sewa di Jalan Dato Dalam, berhadapan Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor Baharu, semalam. — Gambar Bernma

JOHOR BAHARU: Sebanyak 30 penyewa hilang tempat tinggal setelah tiga buah rumah di Jalan Dato Dalam, berhadapan Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor Baharu di sini, musnah dalam kebakaran pagi semalam.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Johor Baharu Omera Omar berkata pihaknya menerima laporan berhubung kebakaran itu pada jam 9.22 pagi dan mendapati api merebak pantas hingga memusnahkan ketiga-tiga rumah yang setiap satunya mempunyai 10 bilik.

“Kebakaran merebak dengan cepat berikutan keadaan angin yang kencang menyebabkan ia turut memusnahkan sebahagian kecil bangunan rumah kedai yang terletak bersebelahan (rumah-rumah itu). Tekanan air yang kuat memudahkan kerja-kerja memadam kebakaran,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Beliau berkata kebakaran itu dapat dikawal sepenuhnya kira-kira 40 minit kemudian.

Tiada mangsa yang cedera manakala punca dan jumlah kerugian masih disiasat Sementara itu, penjaga rumah sewa berkenaan Yap Yam Wae, 64, yang turut tinggal di situ, berkata ketika kejadian beliau keluar bersarapan sebelum dihubungi seorang daripada penyewa mengenai kebakaran itu.

Beliau berkata rumah itu dimiliki abangnya dan disewakan kepada penyewa bujang dan berkeluarga.

Seorang penyewa, Mariam Ahmad, 56, berkata ketika kejadian beliau sedang berehat sebelum dikejutkan oleh jeritan jiran supaya mereka menyelamatkan diri.

“Sebaik keluar dari bilik, saya lihat api menjulang tinggi dari bahagian dapur. Saya hanya sempat menyelamatkan beberapa dokumen penting sahaja, yang lain musnah dalam kebakaran,” katanya yang menyewa di situ sejak 15 tahun lepas. — Bernama

Advertisement